Pengasas | YBhg Tan Sri Muhammad bin Muhd Taib 

Tan Sri Dato’ Seri Muhammad bin Muhd Taib, lahir 29 Julai 1945 Kg Manggis Kalumpang. Berkahwin dengan Puan Sri Asbi Rohani Asnan dan tinggal di No. 1 Jalan Manikam Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan. 

Sekolah Rendah Inggeris Kuala Kubu Bharu (1953-59), Sekolah Menengah Inggeris Sabak Bernam (1959 - 1964). Maktab Perguruan Harian (1964 - 66) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Pertama) Universiti Malaya dalam Bidang Sejarah Dan Pengajian Melayu pada tahun 1979. Pernah bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Felda Gedangsa Hulu Selangor (1965), guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (1979), Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan & Perancangan, Kementerian Pendidikan (1980) dan Pegawai Khas Timbalan Menteri Pendidikan (1981). Kemudian menceburi politik dan menjadi ADUN Batang Kali (1982 -2000), Menteri Besar Negeri Selangor (14 Ogos 1986 – 14 April 1997), Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (Mac 2008 - 9 April 2009).

Tan Sri Muhammad bin Muhd Taib adalah Pengasas Yayasan Basmi Kemiskinan sejak penubuhan YBK pada tahun 1990

Dato' Hj. Zainal Abidin bin Hj. Sakom | Pengerusi (sejak 21/4/1990)

Dilahirkan pada 14 Ogos 1950 di Kg. Gesir Tengah, Hulu Selangor. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam dan Batang Kali, Selangor (1996 - 2008). Menjadi Pengerusi YBK sejak tahun 1990. Pernah menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam, MAIS untuk tempoh dua tahun (2003 - 2005).

YBhg Dato' Zainal adalah lulusan Kolej Islam Klang, Maktab Perguruan Sultan Idris Tg. Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Universiti Islam Sumatera Utara, dan Master in Management Science, University St. John, Jakarta. Pernah berkhidmat sebagai Guru Besar (1969 - 1986) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor (1986 - 1997).

Sekarang aktif memenuhi permintaan agensi kerajaan, swasta dan parti politik memberi ceramah agama, politik dan kemasyarakatan.

Dato Haji Bing Selamat bin Amir (Sejak 1/1/2002 hingga kini)

Mantan Timbalan Pengurus Besar YBK (1995 - 2001). Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. Pernah berkhidmat sebagai guru dan pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Semasa bersama YBK, beliau bertanggungjawab merancang, membangun dan melaksanakan Asrama Kasih YBK, KUNTUM, Pusat Latihan YBK Kuala Selangor, FASTRACK, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Desa Kasih, Program Latihan YBK dengan Pelajar Cambodia, kerjasama persefahaman dengan IPTS (MFI, GMI, BMI) dan penubuhan Kolej Komuniti YBK, ITK YBK Banting, Kajang dan Lembah Bernam.

Buat masa ini bertanggungjawab ke atas Program Pembangunan Modal Insan YBK 

Tuan Haji Hamzah Jalli (sejak 1/8/2014 - 14/1/2017) 

Dilahirkan pada 6 November 1949 di Sabak Bernam. Lulusan B.A. (Hons) Universiti Malaya (1974) dan Diploma Pentadbiran Awam INTAN (1980). Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di pelbagai jabatan kerajaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, dan Pejabat Tanah & Galian Daerah.

Jawatan terakhir adalah Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Hulu Selangor (2004) dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah Sabak Bernam (2005). Mula menyertai YBK sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah sejak 1 Ogos 2014. Di YBK, bertanggungjawab sebagai Pengerusi Pentadbiran.

Tuan Haji Hamzah Jalli telah meninggal dunia pada 14/1/2017.  

Tuan Haji Mohd Faisal Tan Mutalib (sejak 1/8/2014 hingga kini)

Dilahirkan pada 19 Oktober 1981 di Kedah. Lulusan Bachelor & Islamic Law (Hons) Islamic University of Madinah Al-Munawarah. Memiliki Sijil Hafiz Al-Quran 30 Juz daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bertugas di Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur sebagai Imam 1. Beliau bertanggungjawab mengurus operasi harian, pembangunan dan penyelenggaraan Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur.

Mula menyertai YBK sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah pada 1 Ogos 2014 dan bertanggungjawab memantau Program Dakwah Orang Asli dan Saudara Baru Islam.

Dato' Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi (sejak 1/12/2015 hingga kini)

Berasal dari Jalan Kebun Klang. Berumur 60 Tahun dan dilahirlan 20 September 1956. Telah berkahwin dengan Datin Zuraida Binti Kamaludin. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, (Kepujian) UKM 1980, Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN 1983.

Seorang pesara awam. Sebelum ini bekerja di Pejabat Daerah Jempol, Negeri Sembilan (1980), Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1983), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1986), Pejabat Menteri Besar Selangor (1992), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1994), Pejabat Daerah Tanah Sepang (1996), YDP Majlis Daerah Kuala Langat (2000), Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (2004) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (1 Jun 2005 – 31 Dis 2010). Jawatan terakhir beliau adalah Ketua Setiasusaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1 Jan 2011 – 3 Jan 2016)

Prof. Emeritus Dato' Dr. Sulaiman Md Yassin (15/7/1999 - 15/7/2016)

 Lulusan Ijazah Muda Sains Pertanian Universiti Malaya (1972), Ijazah Sarjana Communication Arts (1974) dan Ph.D dalam Extension Education & Communication dari Cornell University (1980). Memulakan karier sebagai pensyarah pada tahun 1972 dan dianugerahkan Associate Professor (1981), Professor (1987) dan Professor Emeritus (2010). Pernah menjawat sebagai Dekan, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Dekan di Universiti Pertanian Malaysia, Timbalan Rektor di KUSTEM Terengganu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ketua Penyelidik di Universiti Putra Malaysia. Kini beliau adalah penyandang Kursi Kesejahteraan YBK dan Pengarah Institut Kesejahteraan di Universiti Islam Malaysia (UIM)

Dato Dr Mat Yassir Ikhsan (1/1/2002-31/12/2013)

Lahir 17 Ogos 1947. Dilantik sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK sejak 1/1/2002 sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor di dalam YBK. Berasal daro Parit Baru Sabak Bernam. Bekas guru di SMK Ungku Aziz Sabak Bernam, pernah berkhidmnat dengan Yayasan Selangor, ADUN Sg Aie Tawar Selangor (1999-2004) dan Ahli Parlimen Sabak Bernam (2004-2008). Seorang yang aktif dalam pelbagai NGO seperti PEMADAM. Persdatuan Sejarah Selangor, Kesatuan Pelajar Melayu Selangor KPPMS

Pernah berkhidmat sebagai guru Penolong Kanan SMK Ungku Aziz Sabak Bernam (1981), Pengetua SMK Subang (1984), Pengurus Pendidikan Yayasan Selangor (988), Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pelajaran Selangor (1989) dan Ketua Penolong Pengarah HEM Jabatan Pelajaran Selangor (1994) sebelum menceburi politik

Datin Hjh Hartini bt Osman (3/8/2006-31/12/2013)

Lulusan Business Study And Marketing Communication Cavendish Of London. Sebelum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, YBhg Hjh Datin Hartini memang telah dan sentiasa terlibat dalam perancangan dan perlaksanaan program-program YBK. Beliau juga merupakan Pengerusi Asrama Kasih YBK Serendah. Selain terlibat dalam kerja-kerja amal YBK, Bhg Hjh Datin merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Di dalam YBK YBhg Datin sering menjadi pengerusi untuk program-program khas YBK seperti Makan Malam YBK dan Pasukan Sukarelawan YBK. Beliau juga penasihat dalam hal-ehwal pelaburan YBK iaitu Pelaburan YBK Sdn Bhd. Sebelum itu beliau merupakan penasihat YBK (2000-2004)

Buat masa ini beliau merupakan Group CEO Syarikat di bawah YBK disamping membantu YBK dalam perhubungan awam dan Program Sinar Kasih Ranmadhan YBK. 

Dato' Hussein bin Mohd Yunus (31/10/1999-30/9/2011)

Dato Husein Yunus, telah memberi khidmat baktinya kepada YBK hampir selama 12 tahun. Kini sudah berumur 75 tahun, merupakan pesara penjawat awam di mana jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Semasa berkhidmat sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK, Dato Husein bertanggungjawab dalam memperakukan keputusan pelaburan YBK. Malah Dato Husein Yunus sangat tegas memastikan usaha merealisasikan visi dan misi YBK. Beliau sering menyatakan penegasan dan mahukan YBK sentiasa berada di landasan betul seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, surat kuasa amanah dan objektif yayasan. Ketika YBK berdepan dengan krisis bersama Kerajaan Negeri Selangor apabila cubaan YAB Menteri Besar Selangor mendesak melantik 3 orang EXCO sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK sebagai prasyarat kelulusan kebenaran merancang UiTM Serendah, Dato Husein bertegas menolak permintaan tersebut dan tidak mahu menyerah YBK kepada Kerajaan Negeri Selangor atas dasar YBK adalah sebuah NGO perlu bebas dari sebarang pengaruh dari mana-mana kerajaan

Abdul Jalil Hashim (1/2/2007-31/1/2009)

Mula dilantik sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK pada 1/2/2007. Berasal dari Sg Choh Huli Selangor. Lulusan Master dalam Corporate Communication dari Universiti Putra Malaysia. Terlibat dalam perniagaan Chartered Financial Consultant dan Chartered Life Under-Writer selama 20 tahun.

Penglibatan beliau dalam YBK adalah untuk membantu YBK dalam sektor pelaburan dan kewangan.

 

Dato Ramli Norani (1/4/1994-1/4/1996)

Dato Ramli Norani masih aktif meneruskan perniagaan seperti hartanah, disamping aktif dalam Lembaga Pertubuhan Peladang dan Persatuan Penjaja Kebangsaan. Penglibatan Dato Ramli, adalah ketika YBK memulakan sayapnya dalam melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan. Berkebetulan ketika itu banyak progam baikpulih rumah, lindungan kasih dan desa kasih di kawasan Sabak Bernam dan beliau merupakan pemimpin di sana, peranan dan sumbangannya sangatlah signifikan. Beliau dapat merasakan bagaimana YBK sebagai NGO sentiasa mengisi paparan media akhbar dan disebut-sebut rakyat seluruh negeri Selangor.  

Beliau komited dan yakin dengan perjuangan YBK sebagai NGO yang membantu orang miskin di Selangor. Rakyat Selangor umumnya melihat YBK sebagai NGO yang sangat berkesan. Antara sumbangan terbesar Dato Ramli Norani kepada YBK adalah pendahuluan sebanyak RM1.2juta kepada YBK untuk memulakan perniagaan agen Produa dalam syarikat milik YBK iaitu YBK Service Sdn Bhd

Prof Datuk Dr Mizan Adillah (1/6/1996 - 31/5/1998) 

Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. Kini bertugas di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pernah memimpin Pusat PERMATA Insan USIM. 

YBhg. Prof. memegang jawatan ALPA dari tahun 1996 hingga 1998. Sebagai individu yang berpengalaman luas dalam pendidikan, beliau telah melihat sendiri perkembangan program-program YBK berasaskan pendidikan seperti Asrama Kasih YBK Serendah, program motivasi cuti sekolah, kolej komuniti dan pelbagai lagi. YBhg. Prof. memuji YBK yang mempunyai matlamat perjuangan yang jelas, iaitu pembasmian kemiskinan. Menurut beliau, tiada NGO pada waktu itu yang memperjuangkan isu kemiskinan secara berfokus, dan YBK merupakan peneraju dan menjadi contoh kepada yang lain.

Menurut beliau, YBK amat komited dengan programnya. Beliau mengambil contoh program motivasi cuti sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar luar bandar. YBK berjaya memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada insan-insan ini untuk berjaya melalui pemerkasaan pendidikan

Khairunie bin Mohd Ali (8/8/1990-16/6/2006)

Tuan Haji Mohd Khairune Mohd Ali, adalah ALPA yang pertama dilantik oleh Pengasas YBK bersama ALPA lain iaitu Dato Zainal Abidin Hj Sakom dan Dato Mohd Radzi Abd Latif iaitu pada tahun 1990. Nama beliau terpahat di dalam dokumen Instrument Of For The Yayasan Basmi Kemiskinan yang pertama yang dimeterai pada 26hb Mac 1990. Sejak dulu hingga kini, Tuan Haji Mohd Khairunie masih aktif dalam industri penerbitan melalui syarikat penerbitan beliau Mohd Khairunie Sdn Bhd di samping aktif dalam kerja-kerja kebajikan. 

Walaupun tidak lagi bersama YBK sejak 2007, ingatan dan pengalaman beliau bersama YBK masih nostalgik. Beliau masih ingat gerak kerja dan kenangan sepanjang menjadi ALPA di mana pelbag/ai program dan projek sosio-ekonomi yang telah dilaksanakan. Projek Desa Kasih antara program yang mendapat sentuhan tidak langsung daripada beliau. Tuan Haji Mohd Khairunie telah melihat sendiri pembangunan Desa Kasih yang disifatkan oleh beliau sebagai program berskala besar YBK yang paling berjaya dikendalikan oleh sebuah NGO bebas seperti YBK.

Raja Ropiah Raja Abdullah (1/6/1996-16/6/2000) 

 Raja Ropiaah Raja Abdullah terkenal sebagai anak raja berjiwa rakyat. Berkelulusan Ijazah/ Sarjana Muda dari Universiti Malaya Kuala Lumpur sejak dari zaman siswanya amat berminat dengan program sukarelawan dan kemasyarakatan. Pengalaman pertama selaku mahasiswa melalui Program Bakti Siswa beliau mengikuti Program Kemasyrakatan yang membawa ke pedalaman negeri Kelantan hingga ke Manik Urai selama 46 hari tinggal bersama keluarga angkat.

Di sini  beliau tinggal dalam kampung membuat projek research dan pengumpulan data disamping melakukan kerja-kerja kehidupan kampung seharian selama 46 hari.

 

Datuk Dr Mohd Radhi Abd Latif (26/3/1990-30/7/2000)


Beliau adalah diantara Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang paling banyak terlibat dalam urusan YBK sejak yayasan ini dirangka untuk ditubuhkan. Turut bertanggung jawab bersama merangka Trustee YBK, menyediakan hala tuju dan wawasan YBK. Beliau merupakan ahli think tank utama dalam kumpulan
Pengasas. Selain menjadi lembaga beliau dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pertama atau Pengurus Besar YBK.


Di kalangan YBK beliau adalah merupakan pakar dalam merangka strategi, menulis kertas Pelan Pembangunan, mahir dengan perundangan yayasan serta aturan dan peraturan menjadikan beliau sebagai pakar rujuk YBK. Selain telibat dalam beberapa lembaga yayasan beliau sendiri menjadi
pengerusi kepada Yayasan Ummi, satu yayasan yang ditubuh pada awal 90an bersama dengan YBK.

 

Mohd Yusof Abu Seman (1/9/1994-31/8/1998)

 Yusof bin Abu Osman adalah tokoh sukarelawan yang aktif dalam YBK.  Berkelulusan Chartered Accountant beliau dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK pada tahun 1994. Sesuai dengan kepakarannya dalam kewangan, beliau dilantik menjadi penasihat kepada Bahagian Kewangan YBK.

Selepas penubuhan YBK beliau terlibat semasa kempen mencari dana dalam Majlis Makan Malam Sejuta Harapan.

 

 

 

Dato’ Hj Mohd Mokhtar bin Ahmad Dahlan (21/4/1992 - 30/3/1998)

 Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dan bekas Anggota Exco Selangor (1999-2008) iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Setinggan. Menerima pendidikan tingginya dari Universiti Malaya dan University of Wixension di United States.

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai seorang guru pada 1965 dan pada 1973 beliau berkhidmat
sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik. Sepanjang di YBK, Dato’ Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan sering terlibat dalam
program baik-pulih rumah dan perhubungan awam YBK.

 

Dato’ Hj Raduan Hj Muhd Taib (1/9/1994 - 1/9/1996) 


Mula berkhidmat dengan Bank Bumiputra Malaysia Berhad pada 1976. Selepas mendapat MBA di AIM, Manila beliau menyertai Shah Alam Properties (SAP) sebagai Chief Operating Officer dan kemudian sebagai Managing Director. Pada tahun 1995 dilantik sebagai Timbalan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, agensi pelaburan Kerajaan Negeri Selangor.

Sepanjang dalam YBK, beliau telah menjayakan pelbagai program baik pulih rumah dan pembangunan modal insan.

Mohd Sahibi Mohd Sharif (1/9/1994-1/4/1996)


Mohd. Sahibi bin Mohd. Sharif pernah dilantk menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK dari tahun 1994 hingga 1996. Dalam kerjayanya beliau adalah seorang guru yang pernah mengajar di Sekolah Munshi Abdullah.

Ketokohan pendidikannya menyerlah hingga beliau dilantik menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Dato’ Kamaruddin Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.
Jawatan terakhirnya ialah menjadi Pengurus Besar Yayasan Selangor. Yayasan Basmi Kemiskinan amat menghargai khidmat beliau kepada yayasan.

Dato’ Idris Denan (1992 –1996)

Beliau merupakan Pegawai Daerah Petaling (1986-1989). Ketika menjawat jawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK beliau adalah Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian Selangor Pernah memegang jawatan Lembaga Pengarah Anak Syarikat Negeri Selangor iaitu Brisdale Holding Sdn Bhd.

 

 

Tan Beng Kim(21/4/1992 - 21/4/1994)

Walaupun perkhidmatan beliau agak singkat tetapi amat signifikan kerana keprihatinan beliau terhadap kemiskinan luar bandar. Mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan kepimpinan negeri menjadikan beliau seorang ahli perniagaan yang terkenal sebagai Aktivis Sosial.

Beliau banyak mencurahkan bakti sewaktu YBK menjalankan kempen mengumpul dana melalui Projek Projek Sejuta Harapan. Beliau terlibat secara langsung dalam projek Larian Sejuta Harapan terutamanya di Shah Alam dan lain lain program yang berterusan.