Sukarelawan YBK berperanan sebagai penggerak dalam melaksanakan program dan aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat khususnya kumpulan sasar YBK.

Program Sukarelawan YBK antaranya ialah aktiviti gotong-royong, pemberian bantuan melalui Skuad Kasih YBK (SKY) dan Program Santuni Gelandangan, ejen maklumat untuk program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) dan kemasukan ke Asrama Kasih YBK, di samping program-program secara kolaborasi dengan organisasi luar.

Sasaran adalah sekurang-kurangnya satu (1) program pada setiap bulan. Penglibatan program adalah terbuka kepada umum. Sukarelawan YBK juga bersedia untuk berkolaborasi bagi melaksanakan program-program sukarelawan dengan organisasi yang berminat atas dasar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Sukarelawan YBK berhasrat menjadi entiti yang utuh dalam menggerakkan gagasan YBK sebagai peneraju pembasmian kemiskinan di Malaysia.

  • Skuad Kasih YBK (SKY)

     

    SKUAD KASIH YBK (SKY) adalah untuk mengenalpasti keluarga/individu yang kurang bernasib baik untuk dibantu. Untuk setiap kes yang diterima, pegawai YBK bersama Sukarelawan akan menjalankan siasatan ke atas keluarga/individu tersebut untuk memastikan kesahihan dan kelayakan sebelum ditentukan bentuk bantuan yang bersesuaian.

    SKY mensasarkan sekurang-kurangnya satu (1) kes setiap bulan. Sukarelawan dan orang awam boleh melaporkan keluarga/individu yang kurang bernasib baik untuk dibantu di tempat masing-masing melalui aplikasi YBK Peduli (Android/iPhone) atau pun menghubungi terus YBK.

    Muat turun aplikasi YBK Peduli :

  • Gotong-Royong - Membaiki dan Membersihkan Rumah

     

    Aktiviti gotong-royong bertumpu kepada keluarga atau individu kurang bernasib baik dan tinggal dalam kediaman yang daif. Sukarelawan YBK akan melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan kediaman dan membaiki serba sedikit agar kediaman keluarga atau individu ini menjadi lebih kondusif untuk didiami.

    Pegawai Sukarelawan YBK akan mengenal pasti rumah yang daif untuk dibantu berdasarkan maklumat daripada orang awam, sukarelawan dan aplikasi YBK Peduli. Aktiviti ini disasarkan untuk dijalankan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan mengikut keperluan dan kes.

  • Santuni Gelandangan

     

    Aktiviti Santuni Gelandangan dijalankan secara bulanan bersama Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur. Pek makan tengahari diedarkan kepada gelandangan dan YBK menaja seratus (100) pek makanan pada setiap hari Sabtu minggu yang pertama setiap bulan. Sesi agihan dilaksanakan oleh Sukarelawan YBK dan dibantu oleh pihak masjid.

    Bermula tahun 2016, YBK berhasrat melaksanakan aktiviti ini pada setiap hari Sabtu dan mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk menaja pek-pek makan tengahari. Pakej-pakej tajaan adalah untuk nilai RM500, RM800, dan RM1,600. Maklumat lanjut boleh dirujuk di tab 'SANTUNI GELANDANGAN'.

  • Bantuan Kemanusiaan & Bencana Alam

     

    Sukarelawan YBK juga terlibat dalam melaksanakan program kepedulian komuniti seperti bantuan bencana alam dan sumbangan musibah. Bencana alam tidak terhad kepada banjir tetapi termasuk juga kebakaran, kerosakan kediaman dan kehilangan jiwa.

    Semasa banjir besar melanda negeri-negeri Pantai Timur pada penghujung 2014, YBK telah menggerakkan tenaga pegawai dan sukarelawannya untuk menghantar bantuan secara besar-besaran di kawasan terjejas teruk seperti Kemaman (Terengganu) dan Dabong/Kuala Krai (Kelantan).

  • Kolaborasi

     

    Sukarelawan YBK boleh melaksanakan program komuniti secara kolaborasi pintar (smart collaboration) bersama YBK. Ahli yang mempunyai kenalan atau merupakan sebahagian daripada organisasi/kumpulan pelajar/persatuan setempat boleh berkolaborasi melalui sinergi kos atau kepakaran dengan YBK demi manfaat masyarakat khususnya kumpulan sasar YBK.

    YBK telah melaksanakan program komuniti bersama kumpulan seperti pelajar Ijazah Teknologi Maklumat UKM, pelajar Ijazah Perakaunan UKM, pelajar UIA, stesen penyiaran TV Al-Hijrah dan pelbagai lagi.

Klik imej untuk muat turun borang.