SUBANG JAYA, 12 April 2025 - Sempena bulan Syawal yang masih berlangsung, Yayasan Basmi Kemiskinan bersama-sama dengan keluarga YBhg. Dato' Dr. (h.c.) Haji Zainal Abidin Sakom telah menganjurkan rumah terbuka Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2025 di kediaman Pengerusi YBK di sini.
Majlis yang bermula pada jam 5 petang sehingga malam telah menerima kehadiran para tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan strategik YBK, rakan-rakan media, kenalan YBhg. Dato' Pengerusi dan isteri, ahli keluarga, saudara mara, mantan karyawan dan para pelajar serta alumni outlet-outlet pendidikan YBK, di samping jiran tetangga dan jemputan-jemputan khas. Para tetamu telah dijamu dengan pelbagai hidangan bertema Hari Raya berkonsepkan 'gerai'.
Antara rakan-rakan strategik yang hadir adalah wakil daripada syarikat Mamee-Double Decker, Kumpulan Media Karangkraf, media AATV, dan ramai lagi, dengan anggaran kehadiran keseluruhan seramai 500 orang. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK iaitu Encik Zulhairy Jalaluddin, Dr. Abdul Fatah Haji Khalid, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, dan Encik Zainal Mohd Jais.
YBK melalui inisiatif Dapur YBK turut membuka gerai untuk menjamu para tetamu yang hadir dengan hidangan mi rebus dan pelbagai lagi yang disediakan oleh karyawan YBK.