KG. GESIR TENGAH, 26 Mac 2025 - Sempena ulang tahun ke-35 Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang jatuh pada hari ini, telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa dan Doa Selamat yang diadakan di Asrama Kasih YBK Gesir, melibatkan kehadiran lebih 100 orang tetamu.

Fokus utama Majlis ini selain daripada menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT, adalah untuk meraikan para karyawan dan tetamu dengan jamuan berbuka puasa, solat berjemaah dan moreh istimewa yang disediakan oleh Dapur YBK.

Dalam Majlis ini juga, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandangan antara YBK bersama ZamZam D’Berkat Enterprise berkenaan kerjasama projek Penghasilan Al-Quran Bertulis Tangan Menggunakan Air ZamZam - yang pertama di Malaysia.

Ustaz Abdul Halim Mohammed Omar, Pengarah ZamZam D’Berkat merangkap penulis telah memberikan penerangan berkenaan bagaimana ayat suci Al-Quran ditulis menggunakan air Zam Zam, dan membawa bersama beberapa karya beliau untuk dilihat sendiri oleh hadirin.

Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Dr. (h.c.) Hj. Zainal Abidin Sakom dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama YBK, dan berharap agar YBK akan terus hidup dan relevan sepanjang zaman. Turut hadir adalah ALPA YBK - Encik Zulhairy Jalaluddin, Dr. Abdul Fatah Hj. Khalid, dan Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib, juga YBhg. Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman selaku Pengerusi Asrama Kasih YBK.

Turut berlangsung selepas selesai solat tarawih dan witir berjemaah adalah penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak Asrama Kasih YBK Gesir, pelancaran Baju Batik baharu ASKA, penyampaian hadiah penghargaan kepada dua orang karyawan YBK yang telah menamatkan tugas.

Majlis diakhiri dengan rakaman Takbir dan Ucapan Hari Raya Aidilfitri, serta jamuan moreh.