PENGASAS
YBhg. Tan Sri Muhammad b. Muhd Taib

Tan Sri Dato’ Seri Muhammad b. Muhd Taib dilahirkan pada 29 Julai 1945 di Kg. Manggis, Kalumpang. Berkahwin dengan Puan Sri Asbi Rohani Asnan dan tinggal di No. 1 Jalan Manikam Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan.

Sekolah Rendah Inggeris Kuala Kubu Bharu (1953-1959), Sekolah Menengah Inggeris Sabak Bernam (1959 - 1964). Maktab Perguruan Harian (1964-1966) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Pertama) Universiti Malaya dalam Bidang Sejarah Dan Pengajian Melayu pada tahun 1979. Pernah bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Felda Gedangsa Hulu Selangor (1965), guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (1979), Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan & Perancangan, Kementerian Pendidikan (1980) dan Pegawai Khas Timbalan Menteri Pendidikan (1981). Kemudian menceburi politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali (1982-2000), Menteri Besar Negeri Selangor (14/8/1986-14/4/1997), Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (Mac 2008 - 9/4/2009).

Tan Sri Muhammad b. Muhd Taib adalah Pengasas Yayasan Basmi Kemiskinan sejak penubuhan YBK pada tahun 1990.

PENGERUSI
YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin b. Sakom

Dilahirkan pada 14 Ogos 1950 di Kg. Gesir Tengah, Hulu Selangor. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam dan Batang Kali, Selangor (1996-2008). Menjadi Pengerusi YBK sejak tahun 1990. Beliau adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk tempoh dua tahun (2003-2005).

YBhg. Dato' Zainal Abidin b. Sakom adalah lulusan Kolej Islam Klang, Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris - UPSI), Universiti Islam Sumatera Utara, dan memiliki Master in Management Science daripada University St. John, Jakarta. Beliau pernah berkhidmat sebagai Guru Besar (1969-1986) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor (1986-1997).

Sekarang aktif memenuhi permintaan agensi kerajaan, swasta serta organisasi luar memberi ceramah agama, politik dan kemasyarakatan.

AHLI-AHLI LEMBAGA - DALAM PERKHIDMATAN

Dato' Hj. Bing Selamat b. Amir (Sejak 01/01/2002)

Mantan Timbalan Pengurus Besar YBK (1995-2001). Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. Pernah berkhidmat sebagai guru dan pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Semasa bersama YBK, beliau bertanggungjawab merancang, membangun dan melaksanakan Asrama Kasih YBK, KUNTUM, Pusat Latihan YBK Kuala Selangor, FASTRACK, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Desa Kasih, Program Latihan YBK dengan Pelajar Cambodia, kerjasama persefahaman dengan IPTS (MFI, GMI, BMI) dan penubuhan Kolej Komuniti YBK, ITK YBK Banting, Kajang dan Lembah Bernam.

Buat masa ini bertanggungjawab ke atas Program Pembangunan Modal Insan YBK.

 

Dato' Setia Hj. Mohammed Khusrin b. Hj. Munawi (sejak 01/12/2015)

Berasal dari Jalan Kebun Klang. Berumur 60 Tahun dan dilahirkan pada 20 September 1956. Telah berkahwin dengan Datin Zuraida Binti Kamaludin. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, (Kepujian) UKM 1980, Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN 1983.

Seorang pesara awam. Sebelum ini bertugas di Pejabat Daerah Jempol, Negeri Sembilan (1980), Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (1983), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1986), Pejabat Menteri Besar Selangor (1992), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1994), Pejabat Daerah Tanah Sepang (1996), YDP Majlis Daerah Kuala Langat (2000), Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (2004) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (01/06/2005 ‚Äď 31/12/2010). Jawatan terakhir beliau adalah Ketua Setiasusaha Kerajaan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (01/01/2011-03/01/2016)

Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Rahman b. Ayub (sejak 01/10/2017)

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Alam Pembinaan, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Dilahirkan pada tahun 1964 dan berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Old Dominion University, Virginia, US pada tahun 1986. Beliau juga memiliki Sarjana Kejuruteraan Awam daripada Oklahoma State University (1996) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembinaan dan Pengurusan Projek daripada Universiti Sains Malaysia (2012).

Berpengalaman sebagai guru dan pensyarah di pelbagai institusi antaranya di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); menjadi Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kolej Komuniti dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia; dan Pensyarah Kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK mulai 1 Oktober 2017 dan bertanggungjawab memantau program Pendidikan Tinggi di YBK.

En. Zulhairy b. Jalaluddin (sejak 01/04/2018)

Lahir pada tahun 1960 dan berasal dari Gombak. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif YBK dari tahun 2001 sehingga 23 Mac 2018.

Pernah berkhidmat sebagai tutor di Universiti Malaya (1984), sektor swasta (1985), Kementerian Buruh (1986-1990), Jabatan Perangkaan Malaysia (1990-1995) dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor (1995-2000). Selain menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari 2001 hingga bersara, beliau juga merupakan Ketua Jurulatih untuk Program Motivasi Semangat Mendaki YBK dan memiliki pensijilan daripada Akademi NLP Malaysia.

MANTAN AHLI-AHLI LEMBAGA

Tn. Haji Mohd Faisal b. Tan Mutalib (01/08/2014- )

Dilahirkan pada 19 Oktober 1981 di Kedah. Lulusan Bachelor & Islamic Law (Hons) Islamic University of Madinah Al-Munawarah. Memiliki Sijil Hafiz Al-Quran 30 Juz daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bertugas di Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur sebagai Imam 1. Beliau bertanggungjawab mengurus operasi harian, pembangunan dan penyelenggaraan Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad).

Mula menyertai YBK sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah pada 1 Ogos 2014 dan bertanggungjawab memantau Program Dakwah Orang Asli dan Saudara Baru Islam.

Tn. Haji Hamzah b. Jalli (01/08/2014-14/01/2017)

Dilahirkan pada 6 November 1949 di Sabak Bernam. Lulusan B.A. (Hons.) Universiti Malaya (1974) dan Diploma Pentadbiran Awam INTAN (1980). Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di pelbagai jabatan kerajaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, dan Pejabat Tanah & Galian Daerah.

Jawatan terakhir adalah Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Hulu Selangor (2004) dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah Sabak Bernam (2005). Mula menyertai YBK sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah sejak 1 Ogos 2014. Di YBK, bertanggungjawab sebagai Pengerusi Pentadbiran.

Tuan Haji Hamzah Jalli telah meninggal dunia pada 14/01/2017.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Sulaiman b. Md Yassin (15/07/1999-15/07/2016)

Lulusan Ijazah Muda Sains Pertanian Universiti Malaya (1972), Ijazah Sarjana Communication Arts (1974) dan Ph.D dalam Extension Education & Communication dari Cornell University (1980).

Memulakan karier sebagai pensyarah pada tahun 1972 dan dianugerahkan Associate Professor (1981), Professor (1987) dan Professor Emeritus (2010). Pernah menjawat sebagai Dekan, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Dekan di Universiti Pertanian Malaysia, Timbalan Rektor di KUSTEM Terengganu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ketua Penyelidik di Universiti Putra Malaysia.

Beliau adalah penyandang penyandang pertama Kursi Kesejahteraan YBK dan Pengarah Institut Kesejahteraan di Universiti Islam Malaysia (UIM).

Dato' Dr. Mat Yassir b. Ikhsan (01/01/2002-31/12/2013)

Beliau dilahirkan pada 17 Ogos 1947. Dilantik sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK sejak 01/01/2002 sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor di dalam YBK. Berasal dari Parit Baru, Sabak Bernam. Pernah berkhidmat sebagai guru Penolong Kanan SMK Ungku Aziz Sabak Bernam (1981), Pengetua SMK Subang (1984), Pengurus Pendidikan Yayasan Selangor (1988), Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pelajaran Selangor (1989), dan Ketua Penolong Pengarah HEM Jabatan Pelajaran Selangor (1994) sebelum menceburi politik.

Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Air Tawar Selangor (1999-2004), dan Ahli Parlimen Sabak Bernam (2004-2008). Seorang yang aktif dalam pelbagai NGO seperti PEMADAM. Persatuan Sejarah Selangor, dan Kesatuan Pelajar Melayu Selangor (KPPMS).

 

Datin Hjh. Hartini bt. Osman (03/08/2006-31/12/2013)

Beliau berkelulusan Business Study And Marketing Communication daripada Cavendish Of London. Sebelum dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Datin Hjh. Hartini aktif melibatkan diri dalam perancangan dan perlaksanaan program-program YBK. Beliau adalah Pengerusi Asrama Kasih YBK Serendah.

Selain terlibat dalam kerja-kerja amal YBK, beliau juga dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan sering dilantik menjadi pengerusi untuk program-program khas YBK seperti Majlis Makan Malam YBK, dan Pasukan Sukarelawan YBK. Beliau juga bertindak sebagai penasihat pelaburan YBK melalui Pelaburan YBK Sdn. Bhd. Sebelum itu beliau merupakan penasihat YBK (2000-2004).

Kini beliau merupakan CEO Kumpulan YBK Usahasama Sdn. Bhd. dan syarikat-syarikat di bawah YBK. Datin Hjh. Hartini juga aktif membantu YBK dalam aktiviti perhubungan awam terutamanya Program Sinar Kasih Ramadhan (SKR).

 

Dato' Hussein b. Mohd Yunus (31/10/1999-30/09/2011)

Dato' Husein b. Mohd Yunus telah memberi khidmat baktinya kepada YBK hampir 12 tahun. Beliau merupakan pesara penjawat awam di mana jawatan terakhirnya adalah sebagai Timbalan Pengarah, Jabatan Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Semasa berkhidmat sebagai Lembaga Pemegang Amanah YBK, Dato' Husein bertanggungjawab dalam memperakukan keputusan pelaburan YBK. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dalam memastikan visi dan misi YBK dilaksanakan dengan betul. Beliau mahukan YBK sentiasa berada di landasan betul seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, surat kuasa amanah dan objektif YBK itu sendiri.

Ketika YBK berdepan dengan krisis bersama Kerajaan Negeri Selangor apabila cubaan YAB Menteri Besar Selangor mendesak melantik 3 orang EXCO sebagai ALPA YBK sebagai prasyarat kelulusan kebenaran merancang UiTM Serendah, Dato' Husein bertegas menolak permintaan tersebut dan tidak mahu menyerahkan YBK kepada Kerajaan Negeri Selangor atas dasar YBK adalah sebuah NGO perlulah bebas dari sebarang pengaruh dari mana-mana kerajaan.

 

Tn. Abdul Jalil b. Hashim (01/02/2007-31/01/2009)

Beliau dilantik sebagai ALPA YBK pada 01/02/2007. Berasal dari Sg Choh, Hulu Selangor. Berkelulusan Master of Corporate Communication daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau terlibat dalam perniagaan sebagai Chartered Financial Consultant dan Chartered Life Under-Writer selama 20 tahun.

Beliau berperanan membantu YBK dalam pemantauan dan pengurusan sektor pelaburan dan kewangan.

 

Dato' Ramli b. Norani (01/04/1994-01/04/1996)

Dato' Ramli b. Norani masih aktif meneruskan perniagaan seperti hartanah, di samping aktif dalam Lembaga Pertubuhan Peladang dan Persatuan Penjaja Kebangsaan. Penglibatan beliau bersama YBK adalah ketika YBK memulakan sayapnya dalam melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan.

Secara kebetulan, ketika itu banyak program baik pulih rumah, Lindungan Kasih dan Desa Kasih di kawasan Sabak Bernam yang dilaksanakan YBK dan beliau merupakan pemimpin tempatan di sana. Justeru peranan dan sumbangan beliau sangatlah signifikan. Beliau dapat merasakan bagaimana YBK sebagai NGO sentiasa mengisi paparan media akhbar dan disebut-sebut rakyat seluruh negeri Selangor.  

Antara sumbangan terbesar Dato' Ramli b. Norani kepada YBK adalah memberi modal pendahuluan sebanyak RM1.2 juta kepada YBK untuk memulakan perniagaan sebagai agen Perodua dalam syarikat milik YBK iaitu YBK Services Sdn. Bhd.

 

Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah bt. Ahmad Ibrahim (01/06/1996-31/05/1998)

Beliau bertugas di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pernah memimpin Pusat PERMATA Insan USIM. 

Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah dilantik sebagai ALPA dari tahun 1996 hingga 1998. Sebagai individu yang berpengalaman luas dalam pendidikan, beliau telah melihat sendiri perkembangan program-program YBK berasaskan pendidikan seperti Asrama Kasih YBK Serendah, program motivasi cuti sekolah, kolej komuniti dan pelbagai lagi. Beliau memuji YBK yang mempunyai matlamat perjuangan yang jelas, iaitu pembasmian kemiskinan. Menurut beliau, tiada NGO pada waktu itu yang memperjuangkan isu kemiskinan secara berfokus, dan YBK merupakan peneraju dan menjadi contoh kepada yang lain.

Menurut beliau, YBK amat komited dengan programnya. Beliau mengambil contoh program motivasi cuti sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar luar bandar. YBK berjaya memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada insan-insan ini untuk berjaya melalui pemerkasaan pendidikan.

 

Tn. Hj. Mohd Khairune b. Mohd Ali (08/08/1990-16/06/2006)

Tn. Hj. Mohd Khairune b. Mohd Ali adalah ALPA yang pertama dilantik oleh Pengasas YBK bersama ALPA lain iaitu Dato' Zainal Abidin Hj Sakom dan Dato' Mohd Radzi Abd Latif pada tahun 1990. Nama beliau terpahat di dalam dokumen 'Instrument Of Trust for The Yayasan Basmi Kemiskinan' yang pertama yang dimeterai pada 26 Mac 1990. Beliau masih aktif dalam industri penerbitan melalui syarikat penerbitan beliau Mohd Khairune Sdn. Bhd. (MKSB) di samping aktif dalam kerja-kerja kebajikan. 

Ingatan dan pengalaman beliau bersama YBK masih nostalgik. Beliau masih ingat gerak kerja dan kenangan sepanjang menjadi ALPA di mana pelbagai program dan projek sosio-ekonomi yang telah dilaksanakan. Projek Desa Kasih antara program yang mendapat sentuhan tidak langsung daripada beliau di mana beliau telah melihat sendiri pembangunan Desa Kasih yang disifatkan oleh beliau sebagai program berskala besar YBK yang paling berjaya dikendalikan oleh sebuah NGO bebas.

 

YM Raja Ropiah bt. Raja Abdullah (01/06/1996-16/06/2000)

YM Raja Ropiah bt. Raja Abdullah terkenal sebagai anak raja berjiwa rakyat. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya, sejak dari zaman siswanya amat berminat dengan program sukarelawan dan kemasyarakatan.

Pengalaman pertama selaku mahasiswa melalui Program Bakti Siswa, beliau mengikuti Program Kemasyarakatan yang membawa ke pedalaman negeri Kelantan hingga ke Manik Urai selama 46 hari di mana beliau tinggal bersama keluarga angkat. Di sana beliau tinggal dalam kampung membuat projek penyelidikan dan pengumpulan data di samping melakukan kerja-kerja kehidupan kampung seharian selama 46 hari.

 

Datuk Dr. Mohd Radhi b. Abdul Latif (26/03/1990-30/07/2000)

Beliau adalah antara Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang aktif dalam urusan YBK sejak yayasan ini dirangka untuk ditubuhkan. Turut bertanggung jawab bersama merangka Trustee YBK, menyediakan hala tuju dan wawasan YBK. Beliau merupakan ahli think tank utama dalam kumpulan Pengasas. Selain menjadi ALPA, beliau juga dilantik sebagai Pengurus Besar YBK yang pertama.

Beliau memiliki kepakaran dalam merangka strategi, menulis kertas Pelan Pembangunan, mahir dengan perundangan yayasan serta aturan dan peraturan menjadikan beliau sebagai pakar rujuk YBK. Selain terlibat dalam beberapa lembaga yayasan, beliau sendiri menjadi pengerusi kepada Yayasan Ummi, satu yayasan yang ditubuh pada awal 90'an bersama dengan YBK.

 

Tn. Mohd Yusof b. Abu Seman (01/09/1994-31/08/1998)

Tn. Yusof b. Abu Seman adalah tokoh sukarelawan yang aktif dalam YBK. Seorang 'Chartered Accountant', beliau dilantik menjadi ALPA YBK pada tahun 1994. Sesuai dengan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang kewangan, beliau dilantik menjadi penasihat kepada Bahagian Kewangan YBK.

Beliau terlibat semasa kempen mencari dana untuk Majlis Makan Malam Sejuta Harapan.

 

Dato’ Hj. Mohd Mokhtar b. Ahmad Dahlan (21/04/1992-30/03/1998)

Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara dan bekas Anggota EXCO Selangor (1999-2008) iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Setinggan. Menerima pendidikan tingginya dari Universiti Malaya dan University of Wixension di Amerika Syarikat.

Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai seorang guru pada tahun 1965 dan pada 1973 beliau berkhidmat sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Sepanjang di YBK, Dato’ Hj. Mohd Mokhtar sering terlibat dalam program baik pulih rumah dan perhubungan awam YBK.

 

Dato’ Hj. Raduan b. Hj. Muhd Taib (01/09/1994-01/09/1996)

Beliau mula berkhidmat dengan Bank Bumiputra Malaysia Berhad pada 1976. Selepas mendapat MBA di AIM (Manila), beliau menyertai Shah Alam Properties (SAP) sebagai Ketua Pegawai Operasi dan kemudiannya sebagai Pengarah Urusan. Pada tahun 1995, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd., agensi pelaburan Kerajaan Negeri Selangor.

Sepanjang dalam YBK, beliau telah menjayakan pelbagai program baik pulih rumah dan pembangunan modal insan.

 

Tn. Mohd Sahibi b. Mohd Sharif (01/09/1994-01/04/1996)

Tn. Mohd Sahibi b. Mohd Sharif pernah dilantk menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK dari tahun 1994 sehingga 1996. Dalam kerjayanya, beliau adalah seorang guru yang pernah mengajar di Sekolah Munshi Abdullah.

Ketokohan pendidikannya sangat menyerlah sehingga beliau dilantik menjadi Pengetua di SMK Dato’ Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pengurus Besar Yayasan Selangor.

 

Dato‚Äô Idris b. Denan¬†(1992 ‚Äď1996)

Beliau merupakan Pegawai Daerah Petaling (1986-1989). Ketika menjawat jawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, beliau adalah Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Pernah memegang jawatan sebagai Lembaga Pengarah anak syarikat negeri Selangor iaitu Brisdale Holding Sdn. Bhd.

Tn. Tan Beng Kim (21/04/1992-21/04/1994)

Walaupun perkhidmatan beliau agak singkat tetapi amat signifikan kerana keprihatinan beliau terhadap isu kemiskinan luar bandar. Mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan kepimpinan negeri menjadikan beliau seorang ahli perniagaan yang terkenal juga sebagai Aktivis Sosial.

Beliau banyak mencurahkan bakti sewaktu YBK menjalankan kempen mengumpul dana melalui Projek Sejuta Harapan. Beliau terlibat secara langsung dalam projek Larian Sejuta Harapan terutamanya di Shah Alam dan lain lain program yang berkaitan.

 

ūüďě HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

ūüďě TEL :¬†+60 (3) 7875 0036
ūüď† FAKS :¬†+60 (3) 7875 0719
ūüďß E-MEL :¬†ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;