KUALA LUMPUR, 31 Disember 2014 - Majlis Malam Penghargaan & Ramah Mesra YBK 2014 merangkap makan malam tahunan telah diadakan di Hotel Impiana KLCC. Seluruh warga kerja YBK bersama ahli keluarga seramai kira-kira 200 orang telah hadir. Majlis pada tahun ini sedikit berbeza kerana YBK turut merasai kesedihan atas musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan pengisian majlis disertakan dengan tahlil dan doa kepada Allah S.W.T.

Majlis bermula pada jam 8:00 malam dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh YBhg. Ustaz Mohd Faisal Tan Mutalib, ALPA YBK merangkap Imam Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur. Seluruh warga kerja dengan khusyuk bertahlil dan berdoa agar Malaysia dipelihara daripada musibah serta diberi ketabahan dan kekuatan. Selesai bermunajat dan berdoa, hadirin menjamu selera sambil mendengar alunan selawat oleh Kumpulan Darul Ehsan.

Majlis turut berpeluang mendengar sesi pembentangan oleh YBhg. Dato' Prof. Emeritus Sulaiman Md. Yasin berkenaan cabaran dan hala tuju YBK pada tahun 2015. Pembentangan ini memberi gambaran kepada warga kerja berkenaan prospek dan cabaran yang bakal dihadapi YBK di tahun 2015 selaras dengan dasar negara Malaysia. YBhg. Prof turut menggesa warga kerja agar lebih bermotivasi dan proaktif untuk membawa YBK ke tingkat yang lebih tinggi.

Kemuncak majlis adalah ucapan dan amanat daripada YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK. Dalam amanat beliau, YBhg Dato' telah melahirkan rasa syukur atas pencapaian YBK sepanjang tahun 2014, di samping menyeru seluruh warga kerja agar lebih bersungguh dan bersemangat mengukuhkan kualiti kerja di tahun 2015 yang juga merupakan ulang tahun YBK yang ke-25. Beliau turut menyampaikan ucap takziah dan sedih ke atas musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan menegaskan komitmen YBK untuk membantu mangsa-mangsa ini melalui beberapa siri misi bantuan yang telah dan akan dilaksanakan oleh YBK. Juga, YBhg. Dato' menyeru seluruh warga kerja untuk bersatu, beristiqamah, menggembleng tenaga dan minda serta menambah ilmu pengetahuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab walau di mana jua berada.

Sesi turut diselang-seli dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan juga penyampaian Anugerah Pekerja Harapan. Majlis diakhiri dengan para hadirin menyaksikan pertunjukan bunga api. Semoga tahun 2015 memberi satu semangat yang segar kepada semua warga kerja YBK untuk terus memberi yang terbaik dan melaksanakan anjakan minda yang positif!

🌐 BERKENAAN LAMAN INI

Dasar Privasi & Penafian
Lapor Ralat / Kesilapan

Kandungan di dalam laman web ini (foto, audio, video dan artikel) disediakan oleh Bahagian Media dan Arkib serta Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat, Yayasan Basmi Kemiskinan. Siaran semula atau replikasi kandungan untuk tujuan komersial perlu mendapat kebenaran daripada YBK terlebih dahulu.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : 03 7875 0036
FAKS : 03 7875 0719
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;