KUALA KRAI, 15 Januari 2015 - Pantai Timur atau lebih spesifiknya - Kuala Krai, Kelantan - menjadi saksi kesungguhan YBK melalui slogan 'YBK Peduli!' membantu mangsa musibah banjir di negeri ini melalui satu misi sumbangan. Misi ini  menonjolkan penglibatan staf dan pengurusan tertinggi YBK secara kolektif, di mana Dato' Pengerusi dan ALPA YBK turut bersama, dengan jumlah 40 orang dan 10 kenderaan. Sebanyak kira-kira 2000 beg sekolah, alatulis, di samping beberapa penjana elektrik dan 'water pump' disediakan untuk sumbangan.

Bagi maksud ini, tujuh buah sekolah yang terjejas teruk akibat banjir telah dikunjungi YBK. Sumbangan beg sekolah, kelengkapan alatulis diserahkan kepada setiap sekolah yang berkenaan. Dato' Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK telah melawat SK Sungai Sam dan SK Kuala Geris bagi melihat sendiri kesan musibah banjir dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar. Penyerahan di sekolah-sekolah lain dilaksanakan oleh kumpulan yang masing-masing diwakili oleh ALPA YBK dan staf. Rombongan turut meluangkan masa berkunjung ke Kg Kemubu/Dabong yang mengalami impak kemusnahan terbesar. Keinsafan dan kesedihan jelas terpancar di wajah-wajah ahli rombongan yang melihat kesan banjir yang melumpuhkan kehidupan kampung berkenaan.

Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga sumbangan YBK ini memberi satu harapan dan kekuatan kepada penerima khususnya pelajar agar terus bersabar dan berjuang dalam pelajaran. Penglibatan pengurusan tertinggi dan staf YBK termasuk sukarelawan adalah satu simbol solidariti dan semangat kepedulian bersama masyarakat Kelantan yang diuji Allah S.W.T. dengan musibah banjir.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;