SHAH ALAM, 4 Februari 2015 - Apabila disebut Desa Kasih, umum mengetahui ia adalah salah satu 'trademark' YBK dan menjadi contoh kepada institusi-institusi lain. Desa Kasih adalah program sosio-ekonomi yang paling berjaya dalam mengubah destini keluarga yang asalnya susah, menjadi keluarga yang berdikari dan berjaya. Saya berpeluang bertemu dengan salah seorang anak kepada peserta Desa Kasih, saudara Halim Ridwan, yang berasal daripada Desa Kasih Parit 9 Sungai Besar. Pertemuan ini adalah kesinambungan daripada pertemuan singkat saudara Halim dengan Dato' Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK di Gua Musang pada 15 Januari yang lepas.

Diskusi di Seksyen 2 Shah Alam berlangsung secara santai. Tepat jam 10:30 pagi, saudara Halim Ridwan tiba dan memperkenalkan diri. Melihat beliau, saya tidak percaya dia adalah 'produk' daripada Desa Kasih YBK. Teruja untuk mendengar kisah beliau dan bertemankan secawan ABC dan teh panas, beliau memulakan bicara dengan rendah diri. Sekarang bekerja sendiri sebagai seorang usahawan di Subang Perdana dan pernah berkhidmat bersama SYABAS sebagai eksekutif. Beliau berpendidikan sebagai jurutera sivil dan rajin menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan anjuran pelbagai NGO.

Keluarga beliau merupakan peserta Desa Kasih Parit 9, Sg Besar dan YBK merupakan organisasi yang banyak membantu. Diceritakan, YBK telah memberikan bantuan bagi mengusahakan kerepek pisang dan hasil pendapatan kerepek pisang itulah yang memberikan kekuatan untuk keluarganya berusaha keluar daripada kemiskinan. Saudara Halim turut menunjukkan kepada saya, keratan akhbar Watan tahun 1995 yang menceritakan perusahaan kerepek pisang keluarga beliau. Selaku anak sulung daripada 9 beradik, beliau mengakui terkesan apabila melihat ibunya membungkus kerepek pisang setiap malam dan memasang azam untuk membantu keluarga dan masyarakat di Desa Kasih tersebut. Alhamdulillah, saudara Halim memaklumkan bahawa keluarga beliau bukan lagi penerima zakat dan sekaligus tidak berada dalam kemiskinan. Semua adik-adik beliau kini telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Apabila ditanya berkenaan nasihat beliau kepada generasi muda sekarang yang tidak pernah melalui kesusahan, hanya satu perkataan yang disebutkan - PENDIDIKAN. Pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah destini hidup. Selain itu, saudara Halim turut menekankan USAHA sebagai asas penting. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, tiada yang akan berubah. Ilmu dan usaha perlu seiring sejalan. Juga, jangan dilupa jasa mereka-mereka yang pernah membantu kita.

Harapan beliau kepada YBK adalah untuk YBK menonjolkan gerakerja mereka kepada generasi baru Desa Kasih yang tidak tahu bahawa kampung mereka itu bermula kerana YBK. Desa Kasih adalah contoh program yang berjaya dan seharusnya ia dikenang bukan sahaja oleh generasi pertama tetapi juga generasi-generasi seterusnya. Beliau turut memberikan komitmen untuk terus menyokong YBK dan bersama dalam gerakerja-gerakerja khususnya untuk komuniti Desa Kasih.

🌐 BERKENAAN LAMAN INI

Dasar Privasi & Penafian
Lapor Ralat / Kesilapan

Kandungan di dalam laman web ini (foto, audio, video dan artikel) disediakan oleh Bahagian Media, Arkib & Komunikasi Korporat, Yayasan Basmi Kemiskinan. Siaran semula atau replikasi kandungan untuk tujuan komersial perlu mendapat kebenaran daripada YBK terlebih dahulu.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;