KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2015 - YBK telah mencipta satu lagi sejarah dengan melancarkan aplikasi telefon pintar yang dinamakan YBK Peduli!. Pelancaran aplikasi telah dilangsungkan dalam satu majlis di Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur, di mana tarikh pelancaran adalah bertepatan dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia.

Majlis yang bermula pada jam 9:30 pagi dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Dato' Bing Selamat Amir dan Tuan Haji Hamzah Jalli, di samping wakil-wakil NGO dan para sukarelawan. Ucapan pra-pelancaran telah disampaikan oleh Datin Hartini Osman selaku Pengerusi Sambutan Jubli Perak YBK. Seterusnya Pengerusi YBK, Dato' Haji Zainal Abidin Sakom menyampaikan ucapan pelancaran di mana beliau menekankan betapa perlunya masyarakat lebih peka dan prihatin kepada insiden-insiden kemiskinan dan kesusahan di sekeliling di samping memanfaatkan sepenuhnya keupayaan teknologi maklumat.

Video pelancaran kemudiannya ditayangkan kepada hadirin bagi memberi gambaran lebih jelas berkenaan fungsi-fungsi aplikasi. Wakil daripada Fiction Labs, pembangun aplikasi YBK Peduli, turut memberikan demonstrasi dan menjawab persoalan daripada para hadirin. Majlis diakhiri dengan jamuan makan dan sesi bulanan Menyantuni Gelandangan melalui pemberian pek makanan yang disampaikan sendiri oleh Dato' Pengerusi YBK.

BERKENAAN APLIKASI YBK PEDULI!

Aplikasi YBK Peduli! membolehkan orang awam melapor kes-kes kemiskinan secara pantas di samping mengesahkan maklumat kes yang dilaporkan oleh pengguna lain untuk tindakan lanjut. Aplikasi ini bertindak sebagai platform untuk pihak-pihak berkepentingan berkongsi maklumat kes-kes kemiskinan di samping memudahkan koordinasi penyaluran sumbangan. Di samping itu, aplikasi ini turut menyediakan fungsi 'Derma Online' bagi memudahkan pengguna menderma dalam bentuk wang kepada YBK bagi disalurkan kepada kes-kes terpilih.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;