- Hit: 1634
CYBERJAYA, 15 Oktober 2015 - Delegasi YBK yang diketuai oleh Dato' Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK, telah mengadakan kunjung hormat ke Universiti Islam Malaysia (UIM). Kunjungan ini adalah atas jemputan Tan Sri Prof. Dr. Mohd Yusof Noor, Presiden UIM. Objektif kunjung hormat ini adalah untuk mengenali lebih lanjut dan meneroka potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama UIM.
Rombongan YBK yang turut disertai oleh semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan 15 orang pegawai tiba di UIM pada jam 9 pagi dan dibawa ke Dewan Q-Lab untuk sesi taklimat. Taklimat disampaikan sendiri oleh Tan Sri Presiden UIM dan video multimedia berkenaan sejarah UIM turut dipertontonkan. Kemudian rombongan dibawa melawat ke perpustakaan UIM dan beberapa fasiliti sebelum diakhiri dengan jamuan makan.
Dalam ucapannya, Dato' Pengerusi YBK melahirkan rasa terima kasih atas jemputan pihak UIM dan bersedia untuk bekerjasama dalam memperkasakan konsep 'hikmah' (wisdom) yang menjadi teras utama universiti ini. Diharapkan lawatan ini menjadi titik permulaan dalam kerjasama UIM dan YBK di masa-masa akan datang.