- Hit: 1525
Merlimau - Dalam melaksanakan misi khidmat sosial kepada rakyat menerusi pendidikan, Yayasan Basmi Kemiskinan ( YBK ) telah mengambil pendekatan melaksanakan Program KUNTUM, Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu semenjak dari tahun 1993 hingga kini. Sepanjang tempoh 17 tahun, YBK telah membelanjakan RM 2,792,052.81 untuk menjalankan program KUNTUM ini yang melibatkan hampir 570 buah sekolah dengan jumlah seramai 16,796 orang. Sekolah-sekolah yang terpilih adalah sekolah yang terletak di dalam kawasan luar Bandar di seluruh Malaysia.
Pelajar-pelajar yang terpilih merupakan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dari kalangan keluarga miskin yang tidak mempunyai kemampuan kewangan mengikuti tuisyen swasta. Program ini bermula
dari bulan Mac hingga Oktober setiap tahun.
Program KUNTUM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah. Antara matapelajaran yang diajar di dalam program KUNTUM ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi (Aliran Sains), Perdagangan dan Perakaunan (tertakluk kepada sekolah). Setiap tahun, antara 30 hingga 60 buah sekolah akan dipilih dalam program KUNTUM ini yang melibatkan pelajar seramai hampir 20 orang setiap sekolah. Bagi tahun ini, sejumlah 32 buah sekolah telah dipilih dalam program KUNTUM.
Rentetan daripada kejayaan ini, bagi tahun 2010 YBK telah memilih SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub di daerah Merlimau Melaka sebagai lokasi utama bagi Pelancaran & Motivasi KUNTUM YBK-KKLW 2010. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi Dan Sumber Manusia Negeri Melaka mewakili YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka. Antara tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi YBK, YBhg Dato’ Hj Zainal Abidin Bin Hj Sakom, Ahli Parlimen Jasin, YB Datuk Wira Hj. Ahmad bin Hamzah, Tuan Haji Zubir Bin Mohd Nor Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pelajaran Melaka dan Pengetua SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub, Tuan Hj Omar Bin Saban.
Sempena majlis pelancaran tersebut YBK melaksanakan program motivasi kepada 200 orang pelajar dari 3 sekolah di Melaka yang terlibat dengan program KUNTUM. Ceramah disampaikan oleh 2 orang pwnceramah tempatan.