- Hit: 1384
MERBAU BERDARAH, 15 Jun 2016 - Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan (SKR) diteruskan di Desa Kasih Merbau Berdarah yang terletak di Sungai Besar, Selangor. Sebanyak lapan (8) keluarga telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan SKR untuk tahun ini. Penyerahan dilaksanakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Tuan Haji Hamzah Jalli. Keluarga yang menerima adalah;
Puan Arbaiyah Rahim adalah seorang ibu tunggal. Punca pendapatan beliau adalah daripada hasil menjual kerepek. Pendapatan purata sebulan yang mampu diperoleh beliau adalah sekitar RM300 hingga RM500 sebulan di samping ihsan daripada anak-anak beliau yang sudah bekerja. Beliau tinggal menyewa dan turut menerima bantuan zakat. Seorang anak beliau masih bersekolah di tingkatan 4.
Encik Ahmad Tukatil hanya bekerja kampung dan turut menjaga isteri beliau yang menghidap angin ahmar (stroke). Pendapatan purata beliau sebulan adalah sekitar RM1000 tetapi bergantung kepada permintaan. Beliau turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Encik Mohd Radzali Abdullah adalah seorang OKU dan bergantung harap kepada kerja-kerja kampung. Pendapatan yang mampu diperoleh beliau dalam sebulan adalah sekitar RM500. Beliau tinggal menyewa di rumah yang diduduki. Sumbangan diterima oleh isteri beliau, Puan Maseh Suratin.
Puan Arpah Jarkasi tidak mempunyai pendapatan tetap dan melakukan kerja-kerja kasar seperti mengutip kelapa dan plastik. Purata pendapatan yang mampu diperoleh beliau adalah sekitar RM250. Beliau ada seorang anak OKU berumur 22 tahun.
Puan Saripah Hanafiah mengambil upah melaksanakan bekam sebagai sumber pendapatan. Pendapatan beliau adalah tidak menentu namun sedikit sebanyak diringankan dengan bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan. Beliau yang menghidap sakit gout bergantung harap dengan anak-anak yang telah bekerja. Dua orang anak beliau masih lagi belajar di sekolah menengah.
Encik Ahmad Husin bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan purata RM900 sebulan. Isteri beliau tidak bekerja dan dua orang anak beliau masih bersekolah. Keluarga ini ada menerima bantuan zakat.
Encik Salih Abdul Rahman secara purata mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM500 sebulan. Isteri beliau tidak bekerja. Beliau mempunyai seorang anak yang masih bersekolah di tingkatan 1.
Encik Bastani Kadri memperoleh punca pendapatan daripada kerja-kerja kampung dengan purata RM600 sebulan. Beliau tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana menghidap penyakit 'Parkinson', darah tinggi dan kencing manis. Isteri beliau tidak bekerja dan seorang anak beliau masih bersekolah di tingkatan 4.