- Hit: 1578
SEGAMAT, 25 Mei 2016 - Penyerahan Sinar Kasih Ramadhan (SKR) diteruskan dengan empat keluarga di kawasan Segamat, Johor. Keluarga yang menerima adalah seperti berikut;
Menumpang di rumah saudara dan terpencil dihujung kampung, Kg Lubok Lanjut, Segamat. En Nadzir bin Jafar mengambil upah meracun dan mengutip sawit di kebun orang. Dengan upah RM500 sebulan beliau menyara keluarga seramai 5 orang. Isteri beliau Pn Masita bt Ali membantu meringankan beban keluarga dengan mengambil upah menjahit baju kurung. Semoga pemberian sumbangan Sinar Kasih Ramadhan yang telah disampaikan oleh Tn Hj Hamzah Jalli, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK ini dapat menampung perbelanjaan bersahur dan berbuka keluarga ini sepanjang bulan puasa.
Sebuah rumah yang hanya mempunyai ruang tamu dan ruang dapur. En Sulaiman Husin menumpang teduh dirumah kebun milik datuknya di Kg Paya Terap, Segamat. Menoreh dikebun yang hanya seluas 1 ekar dengan hasil RM500 sebulan beliau menyara keluarga.Bapa kepada 4 orang anak ini baru saja menjalani pembedahan mata kirinya yang bermasalah. Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YBK, En Zulhairy Jalaluddin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK Tn Hj Hamzah bin Jalli.
Ehsan dari jiran yang prihatin mengizinkan bekalan air dan elektrik disambung dari rumah beliau ke teratak Pn Juliah bt Omar seorang ibu tunggal yang kematian suami 8 tahun lalu akibat kanser ketika anak bongsu 7 bulan dalam kandungan. Bekerja 6pagi hingga 6 petang sebagai buruh kasar di ladang berhampiran demi menyara hidup 5 anaknya. Sinar Kasih Ramadhan ke Kg Spang Loi untuk menyerahkan sumbangan dari warga Malaysia yang prihatin.
En Ibrahim bin Ali dari Kg Bt 10, Segamat menyara 9 ahli keluarganya dengan bekerja sebagai Nelayan Sungai. Rumah dibina dengan bantuan Baitulmal. Sinar Kasih Ramadhan 2016 menyampaikan sumbangan dari orang ramai bagi meringankan beban keluarga besar ini dalam menjalani ibadah puasa.