SERENDAH, 17 September 2016 - Memorandum Persefahaman antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan Multi Media Synergy Corporation Sdn Bhd (MMSC) telah ditandatangani bagi membolehkan kedua-dua organisasi ini bekerjasama memperkenalkan platform eRezeki kepada orang ramai. Melalui platform eRezeki para peserta menjadi Pekerja Digital dan berpeluang peroleh pendapatan tambahan dengan memilih pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran masing-masing.

YBhg Datin Hartini Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YBK Usahasama Sdn Bhd yang juga Pengerusi Program Menjana Pendapatan Tambahan Melalui eRezeki mengucapkan tahniah kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) atas usaha mengadakan program eRezeki menerusi MMSC. "YBK mengucapkan terima kasih kerana dipilih sebagai rakan strategik NGO untuk melaksanakan program ini," ujar beliau dalam ucapannya.

Sementara itu, YBhg Prof Puan Sri Dato Dr Aishah Salleh, Yang diPertua Badan Amal Kebajikan dan Kasih Selangor (KASIH) dalam ucapan perasmian penutup bengkel dan majlis tandatangan MoU berharap peserta program terus mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan tambahan isi rumah. "Inisiatif berterusan Kerajaan dalam memastikan kelompok B40, iaitu isi rumah berpendapatan RM3,850 ke bawah,tidak ketinggalan dalam mengharungi arus pembangunan dan cabaran yang bersifat global haruslah dipuji," tambah beliau lagi.

Program ini sejajar dengan hasrat kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya golongan B40 melalui penggunaan teknologi makkumat dan komunikasi. Majlis menandatangani MoU Program Menjana Pendapatan Tambahan Melalui eRezeki ini telah disaksikan oleh YBhg Prof Puan Sri Dato Dr Aishah Salleh dan ahli-ahli KASIH serta Ahli Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA). YBhg Dato Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK dan YBrs Dr Abdul Rahman Abdullah Pengerusi Eksekutif Kumpulan MMSC telah menyempurnakan majlis tandatangan MoU ini yang membolehkan YBK menyediakan responden dan MMSC mengendalikan bengkel eRezeki.

Hampir 90 orang peserta sekitar Bukit Beruntung, Batang Kali dan Serendah telah mengikuti bengkel latihan eRezeki yang diadakan di Asrama Kasih Ybk Serendah. Bengkel latihan eRezeki seterusnya dirancang diadakan di Pusat Latihan YBK Kuala Selangor dalam bulan Oktober.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;