- Hit: 1493
BATANG KALI, 26 November 2016 - Asrama Kasih YBK Serendah dengan kerjasama Al-Baghdadi Learning Centre (ALC) Batang Kali dan Masjid Bandar Baru Batang Kali telah mengadakan satu program bersempena cuti sekolah. Program yang diberi nama 'Pemantapan Ibadah Pemerkasaan Akhlak' berlangsung selama 2 hari 1 malam. Para pelajar diberi taklimat awal oleh Ustaz Zaid yang merupakan tenaga pengajar daripada ALC berkaitan penjagaan disiplin, matlamat dan visi program ini dilaksanakan.
Sepanjang tempoh program pelajar didedahkan kaedah menghafaz Al-Quran menggunakan teknik neuro daripada Al-Baghdadi; menggunakan surah Al-Buruj sebagai ayat hafazan. Ternyata pelajar berjaya menghafaz dalam tempoh masa yang singkat. Selain itu, pelajar juga diberi pendedahan tentang kaedah belajar kendiri yang disampaikan oleh wakil pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pada malamnya para pelajar didedahkan dengan ilmu 'Smart Solat' dan melaksanakan aktiviti Qiyammullail pada jam 4 pagi.
Para pelajar juga berkesempatan mendengar 2 slot ceramah berkaitan 'Kaedah Pengucapan Awam' dan 'Anak Soleh Anak Syurga' oleh Ustaz Adam daripada Darul Quran JAKIM. Majlis penutup berlangsung pada jam 12 tengahari. Ustaz Syaiful Akmal Addanan hadir bagi mewakili Pengetua ASKA YBK Serendah menyampaikan sijil kepada peserta-peserta program program.