YBK, 20 Disember 2006 - Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada April 1990. Tujuan utama penubuhan YBK ialah membantu pihak kerajaan, menangani masalah kemiskinan di kalangan rakyat melalui program pembangunan social, latihan dan pendidikan.  

Salah satu program latihan dan pendidikan yang telah dijalankan sejak tahun 1994 adalah pembiayaan persekolahan dan sara-hidup anak yatim atau piatu atau keluarga fakir miskin melalui program Asrama Kasih YBK, Serendah dan Asrama Kasih YBK JAMBOR Sakti, Gesir. Setiap tahun asrama-asrama tersebut menempatkan antara 120-200 pelajar sekolah menengah dan 50 orang pelajar sekolah rendah dari kalangan anak yatim piatu dan keluarga miskin tegar.

Untuk tahun 2007 kali ini, YBK telah menerima hampir 200 permohonan Asrama Kasih YBK Serendah samada dari sekolah-sekolah atau penjaga dari seluruh negara (kecuali Sabah dan Sarawak) dan 50 permohonan Asrama Kasih JAMBOR SAKTI Gesir dari seluruh negeri Selangor. Oleh kerana YBK hanya berupaya menempatkan seramai 50 orang pelajar baru ke Asrama Kasih YBK dan 15 orang pelajar baru ke Asrama Kasih YBK JAMBOR SAKTI ramai pemohon yang layak tidak dapat dipertimbangkan. Tahun ini YBK bercadang  memilih 60% (30 orang) permohonan yang berjaya dari permohonan seluruh negeri Selangor dan 40% (20 orang) dari permohonan luar negeri Selangor ke Asrama Kasih YBK, Serendah.

Untuk makluman orang ramai, banyak permohonan yang layak dipertimbangkan. Walau bagaimanapun oleh kerana tempat yang sangat terhad, hanya pemohon yang benar-benar layak dipertimbangkan ditawarkan. Pemilihan mereka adalah berdasarkan kepada

    Pemohon merupakan kalangan anak yatim atau piatu atau dari kalangan keluarga miskin tegar atau fakir miskin,
    Keputusan peperiksaan UPSR atau akhir yang cemerlang,
    Berpotensi untuk mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan berdasarkan ujian IQ dilalui oleh pelajar dan
    Keluarga yang mempunyai keperluan asas (Dharuriyyat) atau keluarga mempunyai keperluan asas tambahan untuk memudahkan hal-hal dharuryyat (Hajiyat).

Pelajar yang terpilih memasuki asrama YBK akan ditanggung sepenuhnya oleh YBK tanpa sebarang kos yang dikenakan seperti makan minum dan persekolahan, yuran peperiksaan, belanja sekolah dan berbagai kos sara-hidup.

Justeru, calon-calon yang berjaya dan tidak berjaya untuk memasuki asrama YBK ini akan diberitahu melalui surat rasmi daripada YBK.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;