SERENDAH, 11 Mac 2017 – Buat julung kalinya, YBK bersama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah melaksanakan Program Bila Belia Berbicara (3B) di Asrama Kasih YBK Serendah. Program 3B siri pertama ini membawa tajuk ‘Siapa dan Di Manakah Anda 20 Tahun Akan Datang?’ dan berfokuskan idea Transformasi Nasional 50 (TN50) telah menarik kehadiran hampir 200 orang belia daripada pelbagai latar belakang.

Program bermula pada jam 9 pagi dengan para jemputan, moderator dan ahli panel mengambil tempat dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Ini disusuli dengan taklimat perjalanan forum yang disampaikan oleh saudara Hezry Hashim, penyampai radio KLfm dan pembentangan konsep Transformasi Nasional 50 (TN50) oleh Puan Zuraini daripada Sekretariat TN50.

Selesai pembentangan TN50, sesi forum dimulakan dengan ahli panel terdiri daripada Puan Zuraini (Sekretariat TN50), Dr. Kamril Juraidi Abdul Karim (Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam) dan saudara Audi Faliq Ibrahim (Yayasan Basmi Kemiskinan). Forum yang berlangsung hampir 2 jam mendapat maklum balas yang amat positif daripada belia yang hadir di mana pelbagai soalan telah dikemukakan kepada para panel.

Selesai forum, pembentangan resolusi merangkumi dapatan dan cadangan telah dilaksanakan dan diserahkan kepada Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom yang turut sama merasmikan penutup Program 3B ini. Turut hadir dalam program ini, Pengerusi Asrama Kasih YBK Serendah, Datin Hartini Osman; Ketua Pegawai Eksekutif YBK, En. Zulhairy Jalaluddin; dan para pegawai YBK dan IYRES.

Program selesai sepenuhnya pada jam 1 tengahari selepas semua hadirin menerima sijil penyertaan masing-masing dan jamuan makan.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;