- Hit: 1562
SERENDAH, 22 Julai 2017 - Asrama Kasih YBK Serendah (ASKA) telah mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di penghujung 27 Syawal dengan mendapat sambutan yang amat mengalakkan. Kehadiran pada tahun ini melangkaui jangkaan yang dibuat dengan kehadiran tetamu kehormat, ibu bapa dan penjaga, Alumni ASKA dari tahun 2012 hingga 2016, para NGO, serta wakil komuniti setempat. Acara tahunan ini telah dirancang sebulan sebelum tarikh pelaksanaan dengan mengekalkan konsep yang sama seperti tahun sebelumnya iaitu konsep 'potluck' di mana ibu bapa dan hadirin yang datang turut membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah untuk dihidangkan pada majlis raya ini. Bak kata pepatah "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah".
Ibu bapa dan penjaga juga berperanan sebagai jawatankuasa program bekerjasama dengan pengurusan ASKA. Majlis bermula jam 11 pagi hingga 2 petang. Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis adalah Tn. Zainal Abidin Zulcifly, penasihat ASKA; Dato' Ali Jawhar, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju; Tn. Ghazali, Penyumbang Van Asrama Kasih YBK; Dato' Hj Bing Selamat, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK; En. Zulhairy Jalaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif YBK; para pemimpin Komuniti Serendah, para NGO, penduduk setempat; ibu bapa serta penjaga anak ASKA.
Sesi memotong kek yang ditaja oleh NGO MAPIM bagi meraikan anak-anak yang lahir pada bulan Julai telah diraikan bersama sama dengan tetamu jemputan. Sebelum itu anak-anak ASKA telah membuat persiapan membakar lemang sebanyak lebih 60 batang untuk dihidangkan pada majlis hari ini. Suasana meriah sambutan Jamuan Hari Raya ASKA memberikan impak yang baik kepada anak-anak, penjaga dan tetamu jemputan. Majlis selesai lewat jam 3 petang.