- Hit: 1258
SG. PANJANG, 6 Oktober 2018 - Hari ini telah berlangsung Majlis Jalinan Kasih YBK di Desa Kasih Merbau Berdarah (DKMB). Program ini bertujuan merapatkan kembali ukhwah antara warga DKMB bersama YBK dan pemegang taruh yang lain, dengan aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang menjadi pengisian utama. DKMB merupakan Desa Kasih terbesar yang dibangunkan oYBK pada tahun 1998 melibatkan lebih 100 kediaman. Selepas 20 tahun, warga DKMB mendapat berita gembira apabila YBK telah membantu mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS @ TOL) di mana permohonannya akan dilaksanakan secara simbolik dalam program ini.
Aktiviti bermula seawal 5 Oktober 2018 dengan gotong-royong membersihkan dan menyiapkan kawasan surau yang akan menjadi lokasi Majlis. Gotong-royong dilaksanakan secara bersama dengan warga DKMB bermula pada waktu pagi. Pada sebelah petang, 'rewang' persiapan memasak kenduri telah berlangsung melibatkan tenaganita DKMB. Pelatih daripada Pusat Latihan YBK turut hadir dan melakukan pemeriksaan dan pembaikan litar elektrik surau.
Pada 6 Oktober 2018 di sebelah pagi, aktiviti sukan rakyat telah dijalankan dengan penyertaan menggalakkan daripada kanak-kanak, belia dan dewasa. Gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari turut berlangsung serentak. Antara sukaneka yang diadakan adalah Rebut Kerusi (Musical Chair), Boling Kelapa, Cari Gula-Gula Dalam Tepung dan Menganyam Ketupat. Cabutan bertuah turut dilangsungkan berselang-seli. Turut berlangsung, pemeriksaan kesihatan oleh pasukan Fakulti Perubatan UiTM Sg Buloh dan Selayang yang diketuai oleh Dr Ilham Ameera Ismail (Pakar Perubatan Keluarga UiTM). Asrama Kasih YBK dan Pusat Latihan YBK turut membuka kaunter untuk pertanyaan dan pendaftaran program. Acara berlangsung sehingga tengahari.
Majlis perasmian bermula pada jam 12:30 tengahari dengan ketibaan tetamu VIP iaitu YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), Encik Mohd Hairi bin Jelani (Penghulu Mukim Pasir Panjang), dan YB Dato' Mohd Imran Bin Tamrin (ADUN Sungai Panjang). Turut hadir, Dato' Bing Selamat Amir dan Encik Zulhairy Jalaluddin (ALPA YBK), Datin Hartini Osman, kakitangan YBK serta wakil-wakil Desa Kasih dan warga DKMB. Simbolik penyerahan borang permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah diserahkan oleh wakil penduduk Desa Kasih kepada Encik Mohd Hairi bin Jelani mewakili Pegawai Daerah Sabak Bernam sambil disaksikan oleh YBhg Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom.
Majlis disudahi dengan jamuan makan tengahari dengan juadah enak yang dimasak oleh warga DKMB.