SONGKHLA (THAILAND), 25 Disember 2023 - Sebelum bergerak pulang ke Malaysia, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menziarahi makam Almarhum Syeikh Abdul Samad al-Falembani yang terletak di Daerah Chana, Songkhla. Kedudukan makam ini sedikit tersorok dan perlu merentas kebun getah.

Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Penasihat Pentadbiran YBK), Encik Zulhairy Jalaluddin (ALPA YBK) dan isteri, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), Encik Audi Faliq Ibrahim (Pengurus Media dan Perhubungan Awam YBK) hadir bersama Encik Ashaari, pengiring dan jurubahasa daripada GISB Holdings Sdn. Bhd.

Kehadiran YBK telah disambut oleh Pak Da, iaitu penjaga makam. Selepas berdoa di makam Almarhum Syeikh Abdul Samad dan beberapa makam srikandi yang gugur dalam perang Pattani-Siam, Pak Da kemudiannya bercerita berkenaan sejarah hidup Almarhum Syeikh Abdul Samad yang merupakan ulama besar di zamannya dan syahid mempertahankan tanah airnya.

Difahamkan kawasan makam ini merupakan lokasi kubu dan pertempuran panglima, srikandi dan perajurit Pattani menahan serangan Siam. Ramai srikandi dan perajurit yang gugur syahid ketika pertempuran dan dikuburkan di sekitar makam ini. Almarhum Syeikh Abdul Samad yang merupakan panglima perang juga gugur syahid, dan menurut riwayat, beliau sendiri berhasrat syahid mempertahankan tanah airnya.

Almarhum juga selaku Ulama besar pada zamannya menulis beberapa buku, antara yang tersohor dan menjadi rujukan adalah kitab turath Hidayah al-Salikin Fi Suluk Maslak al-Muttaqin. Beliau juga merupakan sahabat seperguruan dengan Almarhum Syeikh Daud al-Fatani, juga merupakan Ulama besar alam Melayu.

Pak Da juga telah memberikan tausiah kepada delegasi YBK yang hadir berkenaan amalan-amalan untuk doa diterima oleh Allah SWT dan juga beberapa nasihat lain. Di akhir pertemuan, YBK telah menyampaikan sumbangan kepada Pak Da dan meminta beliau mendoakan kesejahteraan YBK untuk terus berbakti kepada ummah.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;