- Hit: 70
KUALA LUMPUR, 21 Disember 2024 - Siri jerayawara (roadshow) Jelajah Sejuta Harapan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang terakhir untuk tahun 2024 telah diadakan di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur.
Dianjurkan secara bersama dengan Persatuan Penduduk PA Desa Rejang dan 'Usrah In Action Section 25' International Islamic University Malaysia (UIAM), program turut disertai oleh outlet-outlet pendidikan YBK iaitu Asrama Kasih YBK Serendah dan Gesir, Akademi Kemahiran YBK, dan juga Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare). Seramai lebih 100 orang penduduk telah hadir ke program ini yang diadakan di dewan persatuan penduduk.
Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom telah hadir merasmikan program, dan taklimat berkenaan program-program YBK telah disampaikan oleh Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), dan taklimat program 'Mobile School' YBCare telah disampaikan oleh YBhg. Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman (Pengerusi YBCare). Turut bersama, Tuan Haji Ismail Shaari (Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang) dan Dr. Zahid Zamri (Pensyarah UIAM merangkap koordinator Usrah In Action Section 25 UIAM).
Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan program-program YBK khususnya peluang biasiswa Asrama Kasih YBK kepada penduduk, di samping mendapatkan maklumat demografi keluarga miskin untuk program seperti Sinar Kasih Ramadhan dan pendaftaran untuk program Mobile School YBCare. Penduduk berpeluang mendapatkan maklumat di reruai YBK dan YBCare yang turut dibuka di luar dewan.
Dalam program ini juga, YBK telah memberi sumbangan 50 buah bakul makanan kepada penerima terpilih daripada keluarga miskin tegar, di samping mengadakan aktiviti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, permainan, cabutan bertuah untuk pengunjung, dan juga reruai 'free market' pakaian terpakai untuk penduduk mendapatkan pakaian terpakai secara percuma.
Gambar: Facebook Yayasan Basmi Kemiskinan