- Hit: 1630
Sabak Bernam - Seramai 45 orang anak-anak peserta Desa Kasih YBK yang akan menduduki peperiksaan PMR & SPM telah menghadiri program Motivasi Cemerlang PMR & SPM. Program tersebut telah dilaksanakan di Kem Motivasi Pengkalan Tanjong, Kg. Sepintas, Sabak Bernam di bawah peruntukkan Program Desa Kasih Cemerlang Lanjutan KKLW
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi berbagai tips, teknik dan panduan kepada para peserta sebelum mereka menduduki peperiksaan masing-masing.
Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Tn. Hj. Mohd. Jani Naim. Penceramah-penceramah yang berpengalaman sebagai pemeriksa dan penggubal soalan telah dijemput untuk membimbing para peserta untuk menghadapi peperiksaan. Antara teknik subjek yang disentuh ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik & Sains. Di samping itu, seorang penceramah telah dijemput untuk memberi bimbingan teknik-teknik mengingat kepada peserta.
Selain ceramah, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan, Kuliah Subuh dan riadhah juga diadakan. Disamping itu Solat Hajat juga disempurna sebagai salah satu usaha untuk mencapai kejayaan peserta.
Majlis penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB. Dato' Hj. Zainal Abidin Hj. Sakom, Pengerusi YBK. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan pelajar-pelajar agar terus berjuang terutamanya dalam proses mencari ilmu. Ilmu amat penting bagi mengeluarkan diri dan keluarga mereka dari putaran ganas kemiskinan. YB. Dato' juga menasihatkan para peserta supaya tidak malu menjadi orang miskin tetapi sebaliknya jadikan kemiskinan itu sebagai cabaran untuk mereka berusaha hingga jaya. Ramai pemimpin-pemimpin yang berjaya pada masa kini berasal dari keluarga miskin. Sehubungan dengan itu, tidak ada sebab peserta-peserta tidak boleh berjaya seperti mereka ini.
Dengan menghadiri program motivasi cemerlang PMR dan SPM ini, para peserta merasa lebih semangat dan yakin untuk berjaya di dalam peperiksaan masing-masing.