Sabak Bernam - seramai 52 orang anak-anak peserta Desa Kasih YBK yang akan menduduki peperiksaan UPSR telah mengikut program Klinik Kecemerlangan UPSR. Program ini telah diadakan di Kem Motivasi Pengkalan Tanjong, Kg. Sepintas, Sabak Bernam.

Tujuan program ini diadakan ialah untuk memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar bagaimana untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dalam UPSR. Berbagai tips dan panduan untuk menjawab soalan-soalan telah disampaikan oleh penceramah-penceramah yang berpengalaman sebagai pemeriksa kertas peperiksaan. Tips yang telah diberikan ialah untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Selain memberi tips peperiksaan, pelajar-pelajar juga diberi motivasi, perangsang dan teknik untuk cemerlang. Ceramah yang bertajuk “Peperiksaan – Cara dan Sikap untuk Cemerlang” yang disampaikan oleh Hj. Nor Hashim dan ceramah yang bertajuk “Teknik Mengingat” oleh En. Ali Taufiq banyak membantu pelajar untuk cemerlang dalam semua peperiksaan yang akan mereka hadapi.

Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) juga turut diadakan bagi memastikan pelajar-pelajar lebih memehami setiap tajuk ceramah yang diberi. Fasilitator yang mengendalikan aktiviti LDK adalah dari kumpulan Fasilitator dari Kelab Penyayang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh En. Mohd. Nor Sahlan, Ketua Sektor Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam. Dalam ucapannya, beliau menyeru supaya para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan pertingkatkan prestasi kecemerlangan dalam semua perkara yang diceburi.

Program yang diadakan selama 3 hari ini banyak membantu dan meyakin peserta untuk menghadapi peperiksaan yang akan diduduki pada awal September 2001 ini. Kita doakan semoga merka akan mendapat kejayaan cemerlang dan secara tidak langsung dapat membantu keluarga mereka dari putaran ganas kemiskinan apabila mereka berjaya nanti. 

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;