Sabak Bernam - "Serumpun Kasih Semarak Ilmu” begitulah tema projek Eksplorasi Kasih 2001, dimana 59 anak-anak angkat terdiri dari mahasiswa/i Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah berkampung selama 6 hari di perkampungan kelompok PPRT Desa Kasih Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sabak Bernam Selangor.

Projek anjuran Kelab Penyayang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini telah dilancarkan oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam pada 21 Jun, 2001.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Pusat Zakat, Majlis Agama Islam Selangor, Yayasan Basmi Kemiskinan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah; program Forum Perdana Ehwal Islam, program motivasi (teknik menjawab peperiksaan), program gotong-royong membersihkan kawasan surau, kubur dan pusat kecemerlangan pendidikan, kelas fardu ain, sukan dan aktiviti ziarah. Selain itu, turut diadakan juga pameran dari pelbagai agensi seperti Kelab Penyayang UIA, polis, kempen derma darah oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan perpustakaan bergerak

Perasmian penutup projek ini telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Hj Zainal Abidin Sakom pada 25 Jun, 2001. Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh mengenai pembasmian kemiskinan bukan suatu kerja yang mudah kerana kemiskinan bukan diukur dari segi material sahaja tetapi kemiskinan dalam bentuk sikap individu yang sukar untuk berubah. Beliau turut mengingatkan peserta atau KIR bahawa mereka masing-masing telah menjalani beberapa kursus pemulihan sikap dan telah berikrar untuk menghadapi atau keluar dari ujian (kedhaifan hidup) ini. Mereka hendaklah jangan mudah lupa diri dan jangan terlalu mempersoalkan perkara yang remeh-temeh tetapi pandanglah perkara-perkara yang menyentuh kehidupan masa depan terutamanya pendidikan anak-anak, peningkatan pendapatan (taraf hidup) dan mengusahakan pokok tanaman yang telah dibekalkan kepada setiap peserta.

Selain itu turut disampaikan cenderamata untuk pemenang pertandingan sukan di antara mahasiswa dengan penduduk kampung, pertandingan rumah cantik/terbersih dan cenderamata penyertaan kepada agensi yang terlibat dalam pameran.

Rata-rata mahasiswi yang menjadi anak angkat ketika ditanya mengakui tersentuh hati dengan kedhaifan hidup dan segala kekurangan keluarga angkat mereka serta berjanji akan terus membantu, dan mengeratkan tali silaturrahim yang telah terjalin dengan keluarga angkat masing-masing di Desa Kasih Merbau Berdarah.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL :Β +60 (3) 7875 0036
E-MEL :Β ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;