- Hit: 1592
Akademik Kejuruteraan UMW-YBK yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan YBK (PLYBK) yang terletak di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Kuala Selangor dan Desa Kasih Sungai Kajang di Tanjung Karang, hari ini menerima lawatan seramai 80 orang peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dari Daerah Tumpat dan Machang di Kelantan dengan diketuai oleh Encik Kamaruddin Husin Pegawai dari Ibu Pejabat RISDA di Kota Bharu Ketibaan rombongan tersebut di PLYBK pada jam 9.30 pagi disambut oleh Encik Mohd Nazri bin Harun . Dalam taklimatnya kepada rombongan tersebut, Nazri menyatakan pelajar-pelajar lepasan SPM dari luar Negeri Selangor kini diberi peluang mengikuti latihan kemahiran yang dijalankan di Akademi berkenaan. Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pelajar-pelajar lepasan SPM khususnya anak-anak keluarga termiskin yang ingin mengikuti latihan kemahiran di Akademi tersebut agar merebut peluang tersebut dengan membuat permohonan awal. Tarikh akhir menyerahkan borang permohonan bagi mengikuti latihan kemahiran untuk sesi 2002 ialah pada 15 Jun ini.
Rombongan kemudiannya dibawa melawat ke bengkel-bengkel kejuruteraan melihat pelatih-pelatih yang sedang menjalani kursus kemahiran masing-masing sebelum berlepas ke Desa Kasih Sungai Kajang yang terletak di Mukim Tanjung Karang kira-kira 15 km dari sini.
Ketibaan rombongan di Desa Kasih Sungai Kajang disambut oleh jawatankuasa penduduk yang diketuai oleh Encik Omar bin Abdul Majid. Desa Kasih Sungai Kajang yang mempunyai 24 unit rumah mula dibangunkan pada pertengahan tahun 1998 oleh YBK, MAIS dan Pejabat Daerah Kuala Selangor mula didiami pada awal tahun 1999. Pada masa ini, Desa Kasih tersebut telah dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti surau, TASKA serta jalan tar. Manakala projek ekonomi yang dilaksanakan di sini ialah projek tanaman bunga okid secara berkelompok dibawah bimbingan Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor.
Dalam sesi soal-jawab, beberapa peserta menyatakan kekagumannya melihat rakan-rakan yang senasib dengan mereka di Negeri Selangor mendapat pembelaan yang sewajarnya dari pihak kerajaan. Mereka percaya bahawa usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan bilangan rakyat termiskin pada tahun 2005 akan menjadi kenyataan.
Sebelum berpisah rombongan dan penduduk kampung beramah mesra dalam satu majlis jamuan makan tengahari berlaukan ikan keli masak lemak dan ulam-ulam kampung yang disediakan oleh peserta-peserta Desa Kasih Sg. Kajang secara bergotong royong sejak awal pagi.