Banting, 17/1/2001 - Selaras dengan hasrat untuk melahirkan warga yang celik IT, YBK melalui Institut Teknologi Komuniti YBK-EDI, yang dulunya dikenali dengan nama Akademi Komuniti YBK-EDI telah melangkah setapak ke hadapan untuk turut serta bersaing dengan institusi-institusi pengajian tinggi swasta yang lain, dengan menaik taraf pusat pengajian tingginya dari Akademi ke taraf Institut.

Majlis pelancaran nama beserta logo baru institut ini telah dilakukan oleh Pengerusi YBK, Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom di Banting baru-baru ini. Institut yang ditubuhkan melalui kerjasama antara YBK-EDI ini mempunyai dua cawangan, iaitu di Pekan Banting dan Pekan Kajang, dengan bilangan pelajarnya seramai lebih kurang 500 orang.

Institut Teknologi Komuniti YBK-EDI menawarkan 3 bidang pengajian peringkat Diploma, iaitu Diploma Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Perakaunan dengan tempoh masa pengajian selama 2 tahun, dengan kadar bayaran dan kos pengajian yang komprehensif iaitu RM150-RM190 sebulan.

Kesemua bidang pengajian yang ditawarkan di kedua-dua institut ini mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN), Kementerian Pendidikan dan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus-kursus di ITK ini juga berpeluang untuk mendapatkan pinjaman pelajaran samada melalui Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara(PTPTN), Pinjaman Pendidikan YBK-Bank Rakyat atau Pinjaman FASTRACK Kerajaan Negeri Selangor.

Selain menawarkan program peringkat Diploma, ITK juga menyediakan program persijilan dalam bidang Sains Komputer, selain merancang untuk mewujudkan beberapa kursus yang boleh disertai oleh kakitangan kerajaan dan penduduk setempat seperti kursus Bahasa Al-Quran, Kursus Pemasaran dan 'Book Keeping'.

YBK juga berhasrat untuk memperkembangkan operasi dan khidmat Institut Teknologi Komuniti ini dengan merancang untuk membuka beberapa cawangan lain di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti , dalam usaha untuk memperluaskan perkhidmatannya kepada masyarakat, khususnya di negeri Selangor.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;