- Hit: 1780
Sabak Bernam, 21/11/2000 - seramai lebih 30 ahli PUSPANITA MARA, yang menjadi keluarga angkat kepada 30 anak-anak Desa Kasih Merbau Berdarah telah melawat ke Desa Kasih tersebut, disamping untuk beramah mesra bersama anak-anak angkat dan keluarga masing-masing. Lawatan ini diketuai oleh Ybhg. Datin Hjh. Zaini Ja'al, yang juga merupakan Pengerusi PUSPANITA MARA, Kementerian Pembangunan Usahawan.
Menurut Naib Pengerusi PUSPANITA MARA Puan Rahmah Sahamid, lawatan ini adalah di bawah program kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh PUSPANITA dan berhasrat akan diperluaskan lagi kepada beberapa Desa Kasih lain melalui kerjasama YBK. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak MARA akan sentiasa memberikan kerjasama kepada YBK khususnya dalam usaha menyediakan peluang-peluang latihan kepada anak-anak Desa Kasih.
Sempena lawatan ini juga, PUSPANITA MARA turut menyampaikan sumbangan-sumbangan berupa kewangan dan keperluan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak kepada anak-anak angkat masing-masing.
Turut hadir mengalu-alukan rombongan ini ialah Timbalan Pengurus Besar YBK, Tuan Hj. Bing Selamat Amir, beberapa pegawai YBK, anak-anak dan keluarga angkat serta penduduk Desa Kasih.