- Hit: 1660
Kuala Selangor, 1/9/2002 - Sebelum mereka menghadiri seminar, mereka merasa tidak yakin boleh mengubah kehidupan mereka yang dibelenggu kemiskinan. Dengan terus mengharapkan bantuan dalam segala hal, dari bantuan berbentuk rumah kediaman sehinggalah ke kasut sekolah anak mereka.
Walau bagaimanapun, mereka merasa amat bertuah apabila dipilih mengikuti Seminar Keyakinan Diri yang dianjurkan oleh YBK di bawah peruntukkan Desa kasih Cemerlang (DKC), selama 2 hari bermula pada 31 Ogos yang lalu. Seramai 43 peserta dari 10 Desa Kasih menghadiri seminar tersebut yang dikendalikan oleh Haji Md Taib Mat pakar motivasi yang dijemput oleh YBK bagi memberi ceramah dan membimbing peserta-peserta membina keyakinan diri masing-masing. Harapan YBK ialah mereka akan mengubah sikap masing-masing kepada kehidupan yang lebih positif kearah kejayaan dan kecemerlangan hidup mereka seepas ini.
Ahmad bin Nayan, 59 tahun dari Desa Kasih Merbau Berdarah yang merupakan salah seorang peserta yang boleh dikatakan berjaya meningkatkan taraf ekonominya apabila berpindah ke Desa Kasih tersebut berkata " Sebahagian besar peserta yang ditempatkan di Desa-Desa Kasih, mereka bukannya dari golongan yang tidak berupaya yang perlu sentiasa dibantu dari segi kewangan, mereka hanya perlu mengubah sedikit kebiasaan kehidupan masing-masing sekiranya mereka inginkan kejayaan". Ketika ditanya apakah sedikit perubahan tersebut, beliau menambah "Kalau sebelum ini kebiasaannya mereka tidur siang selepas makan tengahari sehingga 1 atau 2 jam, mereka hanya perlu mengubah kebiasaan itu kepada melakukan sesuatu kerja yang boleh menambah pendapatan mereka, hanya sedikit sahaja perubahan yang diperlukan, saya penuh yakin dan percaya kehidupan mereka akan berubah".
Tambahnya lagi, " Peserta seharusnya mempunyai semangat juang dan keyakinan diri yang kental dan kuat disamping bercita-cita untuk tidak mewariskan kemiskinannya kepada generasi selepasnya, anak-anak, cucu dan sebagainya". " Tidak sepatutnya kita terus menadah tangan mengharap bantuan sepanjang masa tanpa sedikit pun berusaha untuk mencari sendiri sumber ekonomi kita".
Ketika majlis penutup, sebahagian besar peserta menunjukan keazaman yang tinggi untuk mengubah corak kehidupan masing-masing dan mengatakan seminar 2 hari yang dihadiri mereka "Tidak cukup masa, minta YBK tambah sehari dua lagi bagi benar-benar mendapat keyakinan dan kebolehan yang diperlukan, sebelum ini kami seolah-olah tercari-cari atau langsung tidak terfikir formula seperti yang dinyatakan penceramah, pada kami rezeki secupak tidak akan jadi segantang yang menjadi pegangan kami selama ini rupanya sudah tidak boleh dipakai lagi" kata Puan Mariatul Kiptiah 42, dari Desa Kasih Bagan Nakhoda Omar sebelum beredar.