Negeri Kelantan dan Terengganu menjadi lokasi lawatan kepada 40 peserta Desa Kasih bagi melihat perkembangan golongan yang senasib dengan mereka di negeri-negeri tersebut. Ketibaan rombongan pada pagi 1 Jun 2002 di Pusat Latihan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kg. Chengal, Kadik telah disambut oleh pegawai dan kakitangan YKK. Setelah mendengan taklimat ringkas berkaitan program-program yang dilaksanakan oleh YKK, peserta rombongan dibawa ke Projek Tanaman Cili yang diusahakan oleh peserta-peserta PPRT di Bukit Awang, Pasir Putih. Ketibaan rombongan di tapak projek ini telah disambut oleh peserta-peserta yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.  Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Awang, Pengurus Besar PPK Bukit Awang. Peserta rombongan kemudiannya dijamu dengan hidangan makan tengahari sebelum beredar ke lokasi lawatan di Kg. Kulim, Pasir Putih untuk melihat projek tanaman labu madu yang juga diusahakan oleh peserta-peserta PPRT Kampung berkenaan.

Tuan Haji Che Mat yang juga Ketua Kelompok projek tanaman labu madu di Kampung Kulim telah menyarankan peserta-peserta yang terlibat agar berusaha lebih gigih sekiranya ingin menempa kejayaan dalam hidup. Beliau yang pernah mengalami pahit getir kehidupan sebagai peserta PPRT sebelum ini berkata "Berusaha kuat tanpa mudah putus asa disertai dengan tekun melaksanakan perintah Allah dan sentiasa berdoa, akan menjadi azimat kepada kejayaan hidup sesorang khususnya peserta PPRT". Beliau yang sebak ketika menceritakan pengalaman beliau semasa menjadi peserta PPRT telah membuat cabaran kepada peserta rombongan "Kalau saya di Kelantan boleh keluar dari PPRT dalam tempoh 10 tahun, tidak mustahil PPRT di Selangor yang mendapat berbagai-bagai kemudahan dan bantuan oleh Kerajaan tidak boleh keluar dari PPRT dalam tempoh 5 tahun sahaja". Tuan Haji Mat juga ialah salah seorang ahli lembaga pengarah PPK Bukit Awang pada masa ini.

Di Negeri Terengganu, peserta rombongan dibawa melawat ke Pusat Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Jalan Sultan Omar. Taklimat di YPKT disampikan oleh Encik Kamaruzaman Awang, Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran dan Kewangan YPKT. Sebelum mengakhiri lawatan, peserta rombongan dibawa melawat ke projek-projek yang juga dilaksanakan oleh peserta-peserta PPRT dengan bantuan dan bimbingan YPKT seperti bengkel membuat kain batik dan bengkel membuat keropok ikan. Mengakhiri lawatan ke Terengganu, peserta-peserta diberi peluang membeli-belah di Pasar Payang.

Rombongan ini yang dianjurkan bersama oleh YBK dan Pusat Zakat Selangor diharapkan telah memberikan pengalaman dan pengetahuan serta semangat kepada peserta-peserta rombongan untuk keluar dari putaran ganas kemiskinan. 

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;