UiTM Shah Alam, 20/2/2002 - Satu Konvensyen Kemiskinan telah dijalankan pada 18 hingga 20 Februari, 2002. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo, pada 19 Februari, 2002, bertempat di INTEKMA Resort and Convention Centre Shah Alam. Konvensyen selama sehari satu malam ini telah berjaya menarik seramai lebih 100 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat. Menteri Besar dalam ucapan perasmian berkata membasmi kemiskinan tidak susah dicapai memandangkan kadar kemiskinan di negeri Selangor pada kadar 2 % rendah berbanding kadar kemiskinan kebangsaan. Baginya medium terbaik bagi membasmi kemiskinan ialah melalui pendidikan dan latihan. Beliau juga percaya bantuan rumah adalah keutamaan bagi mencapai kesejahteraan keluarga dan meningkatkan ekonomi penduduk. Sehubungan itu Kerajaan Selangor telah menubuhkan Kerajaan Prihatin bagi memberi bantuan membina rumah kepada keluarga miskin. Cabaran kepada kita kata beliau lagi adalah untuk membasmi kemiskinan secara total dan mencapai kemiskinan sifar pada kadar 0.5% menjelang tahun 2005.  Seterusnya beliau meminta para peserta konvensyen, Yayasan Basmi Kemiskinan negeri mahupun NGO lain bersama-sama mengarap sebaik mungkin Konvensyen Kemiskinan ini untuk membolehkan pencapaian kemiskinan total diselesaikan.


Konvensyen Kemiskinan anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) ini turut dianjurkan bersama oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan adalah untuk merealisasikan Jihad Basmi Kemiskinan. Konvensyen ini membincangkan isu-isu kemiskinan dalam menuju hala tuju era globalisasi. Antara pembentang kertas kerja ialah dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), UiTM, Kolej Universiti Terengganu dan beberapa agensi seperti YBK, KEDA, MADA, LKIM, AIM dan Yayasan Strategik Sosial. Dato' Annuar Musa selaku pengasas YKK dalam ucapan aluan berkata bahawa peranan Yayasan Basmi Kemiskinan negeri penting sebagai pelengkap kepada Program  Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didapati ada kelemahan tertentu sepeti peruntukan yang bdiberi lambat dibelanjakan, senarai peserta 'tidak putih', penyelewengan peruntukan dan projek-projek yang tidak 'viable' ataupun berlaku kelemahan pada peringkat perancangan. Menjelang tahun 2002, pihak kerajaan telah mengubah dasar dimana PPRT kini dikenali dengan Program Kesejahteraan Rakyat. PKR memberi tumpuan kepada kaum minoriti Orang Asli, minoriti di Sabah dan Sarawak dan kumpulan termiskin yang tercicir dari senarai (1% dari jumlah penduduk negara).

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengasas YKK, Dato' Annuar Musa, Naib Cancelor  UiTM,  Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah dan Pengerusi YBK, YB. Dato' Zainal Abidin Sakom. Majlis penutup Konvensyen ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib selaku pengasas YBK Selangor. 

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;