- Hit: 1738
RAWANG Idaman, projek perumahan usaha sama antara Swis Resources Development Sdn Bhd (Swis Resources) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di Rawang, mampu memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. Ketua Eksekutif Swis Resources, Mohamad Jaafar, berkata dengan harga seunit apartmen dijual antara lebih RM60,000 hingga RM80,000, ia dilihat mampu dimiliki mereka yang berpendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000.
Katanya, Swis Resources menjadikan golongan berkenaan antara sasarannya bagi merealisasikan keperluan pengguna di negara ini khususnya di Rawang, yang inginkan kediaman mampu milik bersesuaian dengan kedudukan ekonomi mereka. Beliau berkata, syarikat turut mengambil kira keupayaan kuasa pembeli khususnya golongan sasaran berkenaan dengan memberikan banyak keistimewaan seperti diskaun dan rebat.
βDengan potongan bulanan yang dianggap tidak membebankan iaitu kira-kira RM300, syarikat yakin projek ini berupaya memenuhi impian golongan berkenaan untuk memiliki kediaman sendiri,β katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran pembelian projek perumahan Rawang Idaman yang disempurnakan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, di Rawang, kelmarin.
Rawang Idaman terletak dalam kawasan strategik iaitu berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan dan kira-kira dua kilometer dari pekan Rawang. Pembangunan fasa pertamanya membabitkan empat blok merangkumi 40 unit kedai dan 240 unit apartmen kos sederhana empat tingkat. Fasa kedua pula membabitkan satu blok dengan 40 unit apartmen.
Mohamad berkata, untuk fasa pertama, sehingga kini 16 daripada 20 unit kedai dan 40 daripada 120 unit apartmen sudah ditempah. Katanya, syarikat mungkin membuka tempahan untuk fasa kedua, sekiranya fasa pertama itu mencatat jualan 50 peratus.
Beliau berkata, syarikat pada awalnya mensasarkan hanya mencatat 30 peratus tempahan pada hari pelancaran, tetapi sebaliknya ia mencecah hampir 50 peratus. βJika semua projek ini berjaya dijual, ia dijangka mampu menjana jualan sebanyak RM39 juta,β katanya.
BERITA HARIAN
ISNIN, 8 MEI 2006