Serendah, 18/11/2011 - Satu majlis yang penuh dengan nostalgia bagi mengenang jasa dan menghargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh Pengetua Asrama Kasih YBK, Tuan Haji Abdul Latif Bin Husain atau lebih dikenali sebagai Pak Latif yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada 31 Disember 2011 ini.

Bertempat di Asrama Kasih YBK Serendah, satu majlis khas diadakan untuk beliau sekeluarga yang dinamakan Majlis Lambaian Kasih dan Jasamu Dikenang. Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa seterusnya diikuti oleh ucapan wakil Pelajar Asrama Kasih, wakil Alumni ASKA, Pengerusi Asrama Kasih YBhg Datin Hartini Osman dan diakhiri oleh ucapan daripada Pengerusi YBK YBhg Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom. Majlis ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik oleh anak-anak Asrama Kasih YBK & Asrama Jambo Sakti dan anak-anak Sukarelawan YBK. Saat paling menyentuh perasaan apabila Ybhg Dato’ Zainal Abidin Sakom bersama para pegawai dan sukarelawan YBK menyanyikan lagu ‘ Di mana kan ku cari ganti ’ yang ditujukan khas kepada Pak Latif. 

Majlis ini dihadiri kira-kira 700 orang tetamu yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pegawai & kakitangan YBK, pelajar-pelajar Asrama Kasih dan Asrama Jambo Sakti, para ibu bapa dan Alumni Aska. Pak Latif telah mula berkhidmat dengan YBK sejak tahun 1994 di mana beliau merupakan individu penting yang menguruskan Asrama kasih YBK bermula dari bawah hingga berjaya mendidik  2,687 orang anak-anak Asrama Kasih. YBK mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pak Latif atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama 17 tahun berada di Asrama Kasih. Semoga Allah memberikan ganjaran rahmat yang berlipat ganda kepada Pak Latif sekeluarga.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;