- Hit: 1805
KALUMPANG, 21 & 22 SEPTEMBER 2013 – Program Semaian Kasih Tautan Ukhwah II fasa ke-2 anjuran pelajar Sarjana Muda Sains Komputer UKM dan YBK telah dijalankan di Pasir Puteh Resort, Kalumpang. Fasa ke-2 ini adalah kesinambungan daripada fasa pertama yang dilaksanakan di ASKA Gesir pada 14 September 2013 yang lepas. Fasa ke-2 ini menumpukan kepada modul ‘Team Building’ di samping aktiviti-aktiviti bersifat ‘outdoor’.
Program fasa ke-2 ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad selaku Penasihat Program dan YBK diwakili oleh Encik Audi Faliq serta Cik Roziana selaku Pengetua ASKA Gesir. Aktiviti hari pertama tertumpu kepada sesi ‘ice-breaking’ di mana setiap pelajar ASKA telah dibahagikan mengikut kumpulan dan dijaga oleh pelajar UKM mengikut konsep ‘mentor-mentee’. Pelbagai aktiviti yang menguji daya kreativiti dan kerjasama kumpulan telah dilaksanakan.
Dato’ Zainal Abidin Sakom selaku Pengerusi YBK dan Datin Hartini Osman telah berbesar hati mengadakan kunjungan pada hari ke-2 untuk melihat sendiri perjalanan program. Beliau juga sudi meluangkan masa memberi amanat dan nasihat kepada hadirin di mana beliau menegaskan kepentingan menuntut ilmu secara berterusan, di samping mengalukan-alukan jalinan kerjasama strategik antara YBK dan pelajar IPT ini diteruskan di masa-masa akan datang.
Aturcara program disempurnakan dengan sesi penutup serta penyampaian sijil dan cenderahati kepada para pelajar ASKA Gesir dan Ahli Jawatankuasa Program, sebelum bertolak pulang pada jam 3 petang.