SHAH ALAM, 8 Oktober 2016 - YBK telah melaksanakan Program Motivasi Kecemerlangan NLP khusus untuk sekolah-sekolah dalam PPD Petaling Perdana. Program ini berlangsung selama setengah hari dan dianjurkan secara bersama dengan pihak GPS Bestari, Kumpulan Media Karangkraf. Sebanyak 5 buah sekolah menghantar penyertaan untuk program ini yang diadakan di Dewan Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra (Studio F), Kompleks Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam. Sekolah yang terlibat adalah SMK Sijangkang Jaya, SMK Seksyen 7 Shah Alam, SMK Seksyen 24, SMK Seksyen 24 (2), dan SMK Taman Sri Muda. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan ada juga yang mendaftar secara persendirian. Kehadiran adalah seramai 100 orang.

Program bermula seawal jam 8:30 pagi dengan ketibaan peserta dan sarapan pagi. Sesi bermula jam 9 pagi yang disampaikan oleh Jurulatih bertauliah NLP untuk pelajar, Encik Zulhairy Jalaluddin dan dibantu oleh Audi Faliq Ibrahim dan Ustaz Saiful Akmal Addanan. Para peserta didedahkan dengan konsep Neuro-Linguistic Programming (NLP) dan idea kecemerlangan dan semangat mendaki. Objektif utama adalah untuk membina kesedaran pelajar tentang potensi diri mereka dan memperkasakan keyakinan diri. Peserta juga telah diajar beberapa corak (pattern) NLP iaitu 'State Management', 'Teras Perubahan' dan 'Bulatan Kecemerlangan'. Praktikal dan pertandingan 'State Management' turut diadakan bagi menguji kefahaman peserta di samping menguji elemen kerjasama dalam kumpulan.

Majlis penutup berlangsung jam 3:30 petang dengan dihadiri oleh tetamu kehormat, YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK. Turut hadir, YBhg. Datuk (Dr) Hussamuddin Hj Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf. Dalam ucapannya, Dato' Pengerusi YBK melahirkan rasa gembira atas penyertaan pelajar dan turut memberikan nasihat berguna kepada para peserta. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil, cenderahati dan hadiah kepada tetamu kehormat dan para peserta. Pemenang pertandingan 'State Management' telah diberi penghormatan mempertontonkan persembahan kepada tetamu kehormat.

Program ini adalah tahun yang kedua dianjurkan secara bersama dengan Kumpulan Media Karangkraf. YBK akan terus komited untuk meneruskan program ini di tahun hadapan dan menjadikannya sebagai acara tahunan bersama Kumpulan Media Karangkraf. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada peserta dan mengeratkan lagi semangat sinergi antara sekolah, organisasi yang terlibat dan YBK.

📞 HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

📞 TEL : +60 (3) 7875 0036
📠 FAKS : +60 (3) 7875 0719
📧 E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;