- Hit: 1413
SG. BESAR, 4 Oktober 2018 - Siri Program Motivasi Semangat Mendaki YBK peringkat daerah Sabak Bernam telah diadakan di Dewan Seri Bernam, Sg. Besar melibatkan 290 orang pelajar daripada 8 buah sekolah menengah dan pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam. Tahun ini merupakan kali yang ke-3 YBK mengadakan siri motivasi di sini. Program ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di mana MDSB telah menaja lokasi dan kelengkapan program.
Sekolah/institusi yang terlibat adalah SMK Munshi Abdullah, SMK Bagan Terap, SMK Seri Bedena, SMK Sungai Besar, SAM Tengku Ampuan Jemaah, SMK(A) Tun Rahah, SAM Pasir Panjang, SMK Dato' Mustaffa dan Kolej Komuniti Sabak Bernam.
Sesi bermula pada jam 9 pagi selepas semua pelajar selesai menikmati sarapan pagi. Sesi dikendalikan oleh En. Zulhairy Jalaluddin selaku Ketua Jurulatih dan dibantu oleh Audi Faliq Ibrahim dan Ustaz Syaiful Akmal Addanan selaku pembantu. Seluruh 290 orang peserta yang hadir telah diperkenalkan dengan modul 'Semangat Mendaki' yang merangkumi lima (5) teras utama iaitu Iman & Taqwa, Mengurus Emosi, Impian, Kepercayaan Diri dan Keberanian. Peserta juga turut diperkenalkan dengan beberapa corak Neuro Lingustic Programming (NLP) seperti Bulatan Kecemerlangan, Teras Perubahan, Kepekaan Sensori dan Pengurusan Emosi (State Management). Pertandingan corak 'State Management' antara sekolah yang hadir turut diadakan sebelum berlangsungnya majlis penutup.
Majlis penutup bermula pada jam 4 petang dengan ketibaan YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK, yang turut diiring oleh En. Mohd Faizal Nawani yang merupakan Penolong Pegawai Jabatan Pembangunan Masyarakat MDSB. Turut hadir, Tn. Hj. Basharuddin Mohd Noor, Timbalan Pengurus Besar YBK dan staf YBK dan guru-guru pengiring. YBhg. Dato' Pengerusi YBK dalam ucapannya turut menekankan kepentingan berfikir secara aras tinggi di samping memberikan motivasi kepada peserta untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.
Penyampaian sijil penyertaan, cenderamata dan hadiah kepada pemenang corak 'State Management' menyusul selepas itu dan majlis diakhiri dengan persembahan 'State Management' beramai-ramai melibatkan seluruh hadirin.