- Hit: 1205
SHAH ALAM, 17 Oktober 2018 - Siri Program Motivasi Semangat Mendaki YBK diteruskan dengan lokasi seterusnya di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. Program yang masuk tahun ke-4 penganjurannya di sini dilaksanakan secara kolaborasi antara YBK dan Kumpulan Media Karangkraf melalui sisipan GPS Bestari Sinar Harian. Tahun ini, sebanyak 8 buah sekolah di bawah PPD Petaling Perdana telah menghantar penyertaan di samping satu sekolah di bawah PPD Kuala Langat. Program ini berlangsung selama setengah hari bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.
Para peserta tiba di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf seawal jam 8 pagi dan diberi sarapan pagi sebelum memulakan sesi. Tepat jam 9 pagi, sesi dimulakan di Dewan Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra sebaik sahaja seluruh peserta tiba dan selesai bersarapan. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 5 dan majoriti adalah lepasan PT3. Sesi dikendalikan oleh En. Zulhairy Jalaluddin selaku Ketua Jurulatih merangkap ALPA YBK, dan dibantu oleh Audi Faliq Ibrahim dan Ustaz Syaiful Akmal Addanan.
Peserta telah diperkenalkan dengan modul 'Semangat Mendaki' yang merangkumi lima (5) teras utama iaitu Iman & Taqwa, Mengurus Emosi, Impian, Kepercayaan Diri dan Keberanian. Peserta juga turut diperkenalkan dengan beberapa corak Neuro Lingustic Programming (NLP) seperti Bulatan Kecemerlangan, Teras Perubahan, Kepekaan Sensori dan Pengurusan Emosi (State Management). Sesi berhenti rehat pada jam 1 petang untuk makan tengahari dan solat Zuhur sebelum disambung semula 1 jam kemudian. Pertandingan State Management antara sekolah turut diadakan untuk menguji kefahaman dan kerjasama peserta.
Sekolah yang hadir di bawah PPD Petaling Perdana adalah SMK Seksyen 19, SMK Seksyen 18, SMK Seksyen 16, SMK Seksyen 7, SMK Seksyen 24(2), SMK Taman Sri Muda, SMK Seksyen 9, dan SMK TTDI Jaya. SMK Sijangkang Jaya daripada PPD Kuala Langat telah menghantar peserta teramai iaitu sebanyak 84 orang. Jumlah peserta untuk tahun ini adalah seramai 262 orang dan guru pengiring seramai 18 orang.
Majlis penutup bermula pada jam 4 petang dan dihadiri oleh YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), YBhg. Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub (Pengarah Urusan Karangkraf), dan Pn. Wan Fauziah Wan Abdullah (Penolong PPD Kerjaya & Kaunseling, PPD Petaling Perdana). Turut hadir, Dato' Bing Selamat Amir (ALPA YBK), En. Muhd Sherhan Nizam Abd Aziz (Pengurus Besar YBK), para pegawai tertinggi YBK dan wakil daripada Asrama Kasih YBK, Pusat Latihan YBK dan Akademi Kemahiran YBK.
Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom, dan beliau juga sempat memberikan sedikit suntikan motivasi kepada para peserta. Penyampaian sijil penyertaan kepada peserta menyusul sebelum diakhiri dengan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan 'State Management' serta sesi bergambar.
Majlis selesai sepenuhnya pada jam 5 petang dan para peserta telah diberikan minum petang dan sedikit tanda mata sebelum berangkat pulang ke sekolah masing-masing.