- Hit: 1263
SERENDAH, 19 Januari 2019 - Penguasaan Bahasa Inggeris merupakan satu kemestian di era teknologi maklumat dan Revolusi Industri 4.0. Justeru Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah mengorak langkah mengadakan Program 'International Workshop of Fun With English' untuk pelajar Asrama Kasih (ASKA) YBK Serendah.
Program yang berlangsung selama setengah hari bermula jam 9 pagi telah dikelolakan oleh tenaga pengajar daripada English Tutorial Center (ETC) yang berpejabat di Padang, Indonesia. ETC merupakan antara institusi yang menjadi pusat rujuk dan penanda aras dalam kelayakan Bahasa Inggeris di Indonesia dan kehadiran mereka ke ASKA Serendah adalah amat sesuai dan tepat pada masanya.
Para pelajar telah didedahkan dengan konsep pembelajaran Bahasa Inggeris secara santai dan berseronok (fun learning). Puan Debby Susianti, Pengarah Urusan ETC dan barisan tenaga pengajarnya telah berjayaย menarik perhatian pelajar yang amat teruja dengan cara pembelajaran yang unik dan tidak membebankan minda.
Turut hadir dalam program ini adalah Datin Dr. Hartini Osman, Pengerusi ASKA Serendah yang telah memberikan ucapan perasmian dan nasihat kepada mereka yang hadir; Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), Puan Halimaton Saadiah (Pengetua ASKA Serendah); dan barisan pegawai ASKA Serendah dan YBK.
ETC juga berbesar hati menawarkan enam (6) biasiswa kepada YBK untuk menghantar peserta mengikuti kursus Bahasa Inggeris di Padang, Indonesia. Kerjasama di antara YBK dan ETC akan diteruskan di masa-masa akan datang dengan penekanan utama untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar ASKA YBK.