- Hit: 308
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melakar sejarah untuk bekerjasama secara rasmi dalam membuka peluang kepada usahawan tani dalam inisiatif mengatasi krisis keselamatan makanan (food security) di Malaysia.
Dalam sidang media yang diadakan di sini, Pengerusi PPIM, Dato' Nadzim Johan (Toqqi) dan Pengerusi YBK, Dato' Haji Zainal Abidin Sakom bersedia untuk membantu para usahawan pertanian yang mempunyai kepakaran dengan menawarkan lokasi milik YBK untuk menjalankan program dan projek pertanian.
Di peringkat permulaan, YBK menawarkan kawasan di YBK Global Camp yang terletak di Kampung Gesir Tengah untuk usahawan tani yang berminat, di mana di kawasan ini YBK telah sedia melaksanakan projek tanaman cili fertigasi dan tanaman-tanaman lain melalui program 'Basmi Kemiskinan Bina Kesejahteraan - BKBK'.
Dato' Zainal dalam ucapannya memaklumkan bahawa tawaran YBK dan PPIM ini merupakan salah satu daripada 'jihad' iaitu memastikan sumber makanan utama terpelihara dan secara tidak langsung menstabilkan harga makanan dan mengurang beban rakyat. Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang prihatin dengan kos bahan makanan yang semakin meningkat.
Dato' Nadzim Johan juga memuji YBK yang merupakan NGO berpengalaman dalam pembasmian kemiskinan, dan kesudian YBK untuk menawarkan kawasan pertanian untuk maksud memelihara 'food security' negara merupakan satu tindakan yang berani dan ke hadapan.
YBK dan PPIM bersedia menerima cadangan dan menjalin kerjasama dengan para usahawan tani yang berminat dan mempunyai kepakaran untuk mengusahakan projek pertanian di kawasan milik YBK demi manfaat umum khususnya rakyat Malaysia.
Dalam majlis yang sama, YBK dan PPIM telah menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda komitmen kedua-dua organisasi ini menjalankan gerak kerja strategik ke arah memastikan 'food security' negara dapat dikukuhkan.