KELANA JAYA, 24 Januari 2025 - Memasuki tahun ke-17, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini telah melancarkan Program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) 2025 edisi ke-17 di Ibu Pejabat YBK di sini.

SKR pada tahun ini menampilkan pendekatan berbeza di mana para penerima sumbangan bukan sahaja menerima wang tunai untuk keperluan berbuka dan bersahur, tetapi juga barangan asas daripada rakan-rakan penaja strategik YBK. YBK menyasarkan untuk membantu 200 buah keluarga miskin terpilih dan sangat mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan.

Majlis pelancaran telah dihadiri oleh rakan-rakan strategik YBK daripada NGO, badan korporat dan sukarelawan. Antara wakil organisasi yang hadir adalah daripada Majlis Belia Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Daerah-Daerah, Badan Amal Kebajikan Anggun, GIATMARA Petaling Jaya Selatan, Pusat Latihan YBK Kuala Selangor, Jabatan Penyiaran Negeri Selangor (Selangor FM), Sinar Harian, Benevolent Malaysia, dan ramai lagi.

Turut hadir adalah YABhg. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Pengasas YBK), YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom (Pengerusi YBK), YBhg. Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman (Pengerusi Program SKR), Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK iaitu Encik Zulhairy Jalaluddin, Encik Zainal Mohd Jais, Dr. Abdul Fatah Haji Khalid, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, dan Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib.

YABhg. Tan Sri Muhammad telah merasmikan pelancaran SKR 2025 dan dalam ucapannya, beliau menyeru hadirin untuk mengambil iktibar daripada sejarah dalam proses untuk mencipta kejayaan. Hadirin turut diperlihatkan dengan tayangan video pendek berkenaan program SKR (klik untuk tonton)

Sebanyak empat organisasi telah bersetuju untuk bersama dengan YBK selaku rakan penaja strategik SKR 2025 iaitu Yayasan Food Bank Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU JPM), Mamee-Double Decker dan Dutch Lady Milk Industries Malaysia. Dalam majlis ini, Surat Persetujuan Kerjasama telah ditandatangan secara rasmi oleh wakil-wakil organisasi. Dalam majlis ini juga, YBK telah menerima sumbangan daripada beberapa syarikat dan orang perseorangan.

YBK mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan untuk program SKR 2025 dan borang sumbangan boleh dimuat turun di laman web YBK bermula pada 25 Januari 2025. Sumbangan akan diserahkan kepada para penerima terpilih seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan.


Gambar: Facebook Yayasan Basmi Kemiskinan


 

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;