- Hit: 39
SINAR KASIH RAMADHAN 2025 - Seramai 3 buah keluarga di kawasan Bukit Beruntung, Selangor telah terpilih untuk menerima sumbangan SKR 2025 untuk tahun ini. Penerima turut mendapat Kotak Makanan sumbangan Yayasan Food Bank Malaysia, dan barangan sumbangan Dutch Lady. Serahan telah dilakukan oleh Puan Norleza Hambali (Pengurus Pentadbiran, Sumber Manusia dan Pendidikan YBK). Keluarga yang menerima adalah;
BUKIT BERUNTUNG, 2 Mac 2025 - Encik Muzafar, 45 tahun, kini hidup dalam status muflis dan bergelut dengan ketidakpastian ekonomi. Beliau menjalankan pelbagai kerja dengan pendapatan tidak tetap, bagi menampung keperluan asas keluarga. Isterinya, Suriatun, seorang surirumah, bersama-sama menguruskan kehidupan mereka yang terdiri daripada 5 anak.
Antara anak-anak tersebut, 3 orang masih bersekolah, manakala seorang baru menamatkan peperiksaan SPM. Anak sulung pula memikul tanggungjawab besar dengan menjaga nenek yang mengidap kanser, satu pengorbanan yang mencerminkan semangat kekeluargaan di tengah dugaan hidup yang berat.
Di tengah cabaran kewangan yang kian memberatkan, keluarga ini mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui bayaran sewa rumah yang turut meringankan beban mereka. Diharapkan, sumbangan Sinar Kasih Ramadhan YBK 2025 ini menerusi Kotak Rezeki daripada Yayasan Foodbank Malaysia dan produk Dutch Lady menjadi secercah harapan, menyinari jalan keluarga ini dalam menghadapi Ramadan ini.
BUKIT BERUNTUNG, 2 Mac 2025 - Encik Raja Hamizi, 51 tahun, dahulunya pernah bekerja sebagai mekanik kereta. Kini, beliau menghadapi realiti getir tanpa pendapatan kerana tidak mendapat sebarang pekerjaan dek kerana telah berusia. Keluarganya harus bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai operator pengeluaran.
Keluarga ini memiliki 5 anak yang berumur antara 11 hingga 20 tahun. Perbelanjaan keluarga ini turut dibantu oleh anak perempuan mereka yang bekerja di Riverstone Sdn.Bhd. 4 lagi anak keluarga ini masih di bangku persekolahan.
Walaupun keadaan serba mencabar, keluarga ini tidak berputus asa. Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 2025 melalui Kotak Rezeki daripada Yayasan Foodbank Malaysia dan sumbangan produk Dutch Lady, dapatlah meringankan perbelanjaan dapur mereka sepanjang Ramadan ini. Sumbangan telah diserahkan oleh wakil YBK kepada Puan Siti Salbiah.
BUKIT BERUNTUNG, 2 Mac 2025 - Puan Suhaila Mat Sahi, 47 tahun, seorang ibu tunggal yang tabah membesarkan empat orang anaknya yang berusia antara 13 hingga 20 tahun. Sejak berpisah dengan suaminya, dia terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Untuk menampung kehidupan, Suhaila mengambil upah menjaga anak orang.
Pendapatannya tidak seberapa, tetapi dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat membeli keperluan harian buat anak-anaknya. Beban yang dipikulnya sedikit ringan dengan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang menanggung sewa rumahnya. Selain itu, dia turut menerima bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang membantunya dalam perbelanjaan harian.
Anak sulungnya, yang sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Diploma Perguruan di universiti, dijangka menamatkan pengajian pada Mei 2025. Dalam ziarah Sinar Kasih Ramadhan 2025, Puan Suhaila menerima sumbangan Kotak Rezeki daripada Yayasan Foodbank serta produk Dutch Lady, yang sedikit sebanyak membantu dalam penyediaan makanan bersahur dan berbuka untuk keluarganya.