- Hit: 2121
ULU YAM, 27 September 2014 - Program Gotong-Royong telah diadakan di Kg. Orang Asli Gurney bermula jam 9 pagi. Program ini melibatkan masyarakat Orang Asli setempat dan disertai bersama oleh sukarelawan daripada YBK dan JP Hulu Selangor. Fokus program adalah untuk mengecat semula surau di kampung tersebut di samping membersihkan kawasan sekitar.
Aktiviti mengecat dan membersih dimulakan selepas sarapan pagi. Pada masa yang sama, anak-anak Orang Asli turut diberi sesi ceramah berkaitan dengan kepentingan menjaga kebersihan oleh dua orang penceramah. Program turut diserikan dengan kehadiran ADUN Batang Kali, YBΒ Tuan Mat Nadzari bin Ahmad Dahlan. Dalam ucapannya, YB Tuan Mat Nadzari meminta penduduk untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, di samping menggunakan peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan terutamanya di kalangan anak-anak Orang Asli melalui kelas pengajian yang diadakan. Di akhir majlis, YB telah menyampaikan sumbangan berupa pakaian terpakai kepada Tok Batin selaku wakil penduduk.
Program gotong-royong ini merupakan sebahagian daripada inisiatif YBK untuk memberikan ruang dan peluang kepada penduduk Kg Orang Asli Gurney mendapat pendedahan bagi memperbaiki taraf hidup mereka. Diharapkan program ini memberi kesan positif dan menjadi pemangkin untuk memajukan diri khususnya di kalangan penduduk tempatan.