- Hit: 782
SERENDAH, 28 November 2020 - Yayasan Basmi Kemiskinan melalui Program YBK Prihatin hari ini telah berjaya menyantuni 16 kampung-kampung Orang Asli (KOA) dalam daerah Hulu Selangor.
Program YBK Prihatin ini melibatkan mobilisasi dan kerjasama seluruh karyawan YBK pelbagai peringkat. Lebih manis lagi, Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Hj. Zainal Abidin Sakom bersama-sama barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah - En. Zulhairy Jalaluddin, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ayub, Dr. Abdul Fatah Hj. Khalid - serta Datin Dr. Hjh. Hartini Osman (Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan) turut melibatkan diri.
Objektif program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan barangan makanan daripada Yayasan Food Bank Malaysia, Massimo dan Mamee. Program ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Polis Di Raja Malaysia Hulu Selangor yang turut menghantar pegawai masing-masing untuk mengiringi dan memantau.
Selepas selesai mendengar taklimat dan amanat daripada Dato' Pengerusi YBK, para karyawan telah dilepaskan ke destinasi KOA yang telah ditetapkan mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan telah diwakili oleh seorang Ahli Lembaga, dan barangan sumbangan telah disampaikan kepada Tok Batin/Pengerusi KOA yang berkenaan.
Program selesai sepenuhnya pada jam 1 petang. Terima kasih kepada Dato' Pengerusi, Ahli Lembaga, para karyawan serta agensi dan individu yang telah membantu menjayakan Program ini.