Program D'Kasih Cafe merupakan program sosio-ekonomi yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Sebanyak RM 477,000.00 telah diperuntukkan kepada YBK pada tahun 2001 untuk menyediakan keperluan modal, kemahiran serta membimbing perniagaan golongan miskin seperi ibu tunggal untuk meneroka bidang perniagaan makanan. Melalui program ini YBK akan membangunkan premis perniagaan di samping menyediakan peralatan perniagaan makanan dengan sewajarnya bagi membolehkan golongan sasar menjalankan perniagaan. Pihak yang menerima bantuan ini akan membayar balik modal pelaburan yang dibuat oleh YBK tanpa sebarang kadar faedah.


SENARAI D'KASIH CAFE

• D'Kasih Cafe Taman Samudera - Kafe D’ Kasih ini diusahakan oleh Haji Jonid b Kadri (58 tahun). Beliau yang memulakan perniagaan ini pada 28 Ogos 2003 setelah pengusaha lama gagal meneruskan perniagaan kerana dikatakan mengalami kerugian. Hj Jonid berpengalaman mengusahakan perniagaan berasaskan makanan sejak tahun 1971 dengan menggunakan modal sendiri.

• D'Kasih Cafe Bukit Dokong - Terletak di R&R Lebuhraya Cheras-Langat. Kafe ini diusahakan oleh Rohaya bt Mohd Said, pada tahun 2002. Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang berasal dari Sekinchan. Sebelum mengusahakan kafe ini, Puan Rohaya merupakan salah seorang pekerja di D'Kasih Kafe Taman Samudera. Setelah menimbangkan permohonan beliau untuk mengusahakan sendiri kafe D'Kasih, YBK telah memutuskan untuk menyerahkan operasi kafe Bukit Dokong kepada beliau. Walau bagaimanapun, kafe kedua ini akhirnya terpaksa ditutup apabila Puan Rohaya mengambil keputusan menyerahkan semula kepada YBK kerana tidak dapat menampung kos sewa yang tinggi. Oleh kerana tiada pihak yang layak serta berminat untuk meneruskan perniagaan ini, akhirnya terpaksa ditutup

• D'Kasih Cafe Batang Kali - Terletak di Laluan Utama Batang Kali, Hulu Selangor. YBK telah membangunkan premis kafe di kawasan lapang dengan keluasan lebih kurang 20 x 30 kaki persegi. Kafe D'Kasih telah diserahkan kepada Puan Fatimah bt Ismail (38 tahun), seorang ibu tunggal yang telah menyatakan minat dan kesungguhan untuk menjalankan perniagaan penyediaan makanan. Beliau memulakan perniagaan pada 13 Mac 2004. Walau bagaimanapun, beliau gagal meneruskan perniagaan kerana mempunyai komitmen keluarga dan terpaksa menyerahkan premis dan peralatan perniagaan kepada YBK. Pada 1 Jan 2005, YBK telah menawarkan kemudahan premis dan perkakasan perniagaan kepada Puan Suhaila bt Safrizal untuk menjalankan perniagaan makanan di kafe ini. Beliau telah menjalankan perniagaan makanan selama 9 bulan juga kemudiannya menarik diri.

• D'Kasih Cafe Gesir - D'Kasih Cafe Gesir mula beroperasi pada awal Januari 2005, di kawasan Institut Teknologi Mutiara YBK Cawangan Lembah Bernam (kini YBK Global Camp) bagi menampung keperluan pelajar-pelajar institut ini. Kafe ini boleh menempatkan antara 20 hingga 40 orang pada satu-satu masa. Kafe yang diusahakan oleh Abd Azid b Mat Jam ini menyediakan masakan Melayu seperti nasi campur, mee goreng, nasi goreng dan lain-lain. 

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : 03 7875 0036
FAKS : 03 7875 0719
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;